Bidang teknikal mudah dapat kerja - Utusan Malaysia

Bidang teknikal mudah dapat kerja

GRADUAN dalam bidang teknikal lebih mudah mendapat pekerjaan dan terus relevan dalam pasaran kerja di negara ini dengan kebanyakkannya mendapat kerja selepas tamat pengajian.- UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Graduan dalam bidang teknikal lebih mudah mendapat pekerjaan dan terus relevan dalam pasaran kerja di negara ini dengan kebanyakan mendapat kerja selepas tamat pengajian di universiti atau kolej-kolej dalam latihan teknikal dan vokasional (TVET) itu.

Antaranya graduan dari Universiti Malaysia Perlis (Unimap) apabila direkodkan hampir 70 peratus dalam tempoh sekurang-kurangnya enam bulan selepas tamat pengajian berjaya mendapat pekerjaan dalam bidang tersebut.

Selebihnya 17.2 peratus melanjutkan pengajian; 6.5 peratus meningkatkan kemahiran; dan 3.7 peratus menunggu penempatan pekerjaan.

Jumlah tersebut direkodkan menerusi data kadar kebolehpasaran graduan atau graduate employability (GE) Unimap bagi graduan aliran teknikal universiti berkenaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Canselor Unimap, Prof. Dr. Zaliman Sauli berkata, data kadar GE Unimap yang tinggi itu menunjukkan graduan universiti berkenaan sentiasa memenuhi permintaan industri dan pasaran pekerjaan di negara ini.

Katanya, meskipun unjuran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini dijangka sekitar empat hingga 4.5 peratus kerana faktor global dan kesan pasca pandemik Covid-19, namun graduan dalam bidang teknikal tersebut masih mendapat tempat dalam sektor pekerjaan.

“Kadar GE ini amat berkait rapat dengan prestasi ekonomi dan pasaran pekerjaan negara tetapi sebagai salah sebuah universiti awam yang berfokus aliran kejuruteraan dan teknikal, Unimap sangat proaktif dalam menggandakan pelbagai usaha bagi membantu graduan universiti teknikal itu memperoleh pekerjaan dalam tempoh enam bulan bergraduasi.

“Antara pendekatan yang dilaksanakan ialah dengan memperkasakan jaringan kerjasama strategik dengan industri terutamanya dalam sektor elektronik dan elektrik di Malaysia di mana 50 peratus kakitangan Opstar Technolgy dan 40 peratus kakitangan Analog Devices merupakan alumni Unimap. Hubungan baik sebegini amat perlu bagi memastikan kadar kebolehpasaran graduan ini dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Kelmarin akhbar ini melaporkan, kira-kira 100,000 mahasiswa yang bakal menamatkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda di lebih 20 buah institut pengajian tinggi (IPT) hujung minggu ini khuatir dengan peluang mereka untuk memasuki pasaran kerja yang dilihat samar-samar.

Ini mengambil kira unjuran penganalisis ekonomi menjangkakan KDNK Malaysia tahun ini cuma sekitar empat hingga 4.5 peratus kerana faktor global dan kesan pasca pandemik Covid-19 yang belum pulih berbanding KDNK 8.7 peratus tahun lepas.

ZALIMAN SAULI

Tambah Zaliman, pelbagai platform disediakan di peringkat universiti untuk menyokong pelajar ke arah kesediaan memasuki alam pekerjaan seperti menyediakan pusat kerjaya dan kaunseling, karnival kerjaya dan ‘Career Talk Series’ bersama-sama pihak industri.

“Dengan cara ini, graduan boleh mendapatkan maklumat-maklumat berkaitan dengan tawaran pekerjaan, peluang untuk menyambung pengajian, permohonan kemudahan penajaan pengajian serta latihan peningkatan kemahiran.

“Saya menyeru graduan-graduan Unimap dan keseluruhan IPT untuk berusaha merebut peluang yang dianjurkan oleh pihak universiti kerana semua program ini disediakan secara percuma untuk mereka.

“Para graduan juga harus peka dengan kehendak dan penawaran pasaran pekerjaan dengan melayari portal-portal direktori pekerjaan sedia ada yang menyediakan pelbagai modul ‘jobmatching’ yang berupaya menemu padankan graduan dengan keperluan pihak syarikat atau industri,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga menzahirkan kesedihan apabila melihat isu nasib graduan dan kesukaran mereka mencari pekerjaan namun hal tersebut bukan hanya menjadi tanggungjawab universiti semata-mata.

“Ia perlu menjadi isu bersama yang perlu ditangani oleh semua pihak sama ada kementerian-kementerian, jabatan, agensi, para akademik, pelajar atau graduan termasuk di pihak industri sebagai entiti akhir yang akan menerima graduan-graduan IPT ini.

“Apa yang penting ruang dan peluang yang sewajarnya diberikan kepada para graduan bermula dari awal mereka menjejakkan kaki di IPT dan para graduan juga perlu merebut peluang yang diberikan kerana selain segulung ijazah, nilai tambah ini penting di zaman keruncingan ekonomi dan ledakan dunia teknologi tanpa sempadan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya