JERAI: Beruang matahari seberat 90 kilogram yang diselamatkan setelah tersesat di Kampung Selengkoh Tengah, Yan di sini awal bulan ini sudah dibebaskan ke kawasan bersesuaian yang tidak didedahkan lokasinya.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kedah, Jamalun Nasir Ibrahim berkata, beruang betina itu dibebaskan selepas disahkan berada dalam keadaan sihat oleh pakar veterinar.
“Kami telah berhubung dengan Pusat Menyelamat Hidupan Liar (NWRC) Sungkai, Perak yang memiliki pakar veterinar. Mereka mengesahkan beruang itu sihat dan sedia untuk dilepaskan ke habitat sesuai.
“Jika beruang itu berada dalam keadaan tidak sihat, kami takkan melepaskannya. Apabila semuanya baik barulah kami bertindak demikian,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Dalam kejadian 2 Februari lalu, seorang anggota bomba bantuan, Mohd. Nizam Hamid, 27, cedera selepas pergelangan tangan kirinya digigit beruang tersebut yang berada dalam keadaan panik setelah tersesat dan masuk ke kawasan sawah padi.
Tambah Jamalun, pemeriksaan dijalankan mendapati beruang tersebut berusia kira-kira sembilan tahun dan sememangnya haiwan liar dan bukan dibela mana-mana pihak seperti ditimbulkan pihak tertentu sebelum ini.
“Bagaimanapun saya tak boleh mendedahkan di kawasan mana beruang itu dilepaskan kerana polisi konservasi. Kes sebegini jarang-jarang berlaku dan haiwan tersebut perlu terus dilindungi,” katanya. –UTUSAN