Bersihkan rasuah dari politik Malaysia - Utusan Malaysia

Bersihkan rasuah dari politik Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI Amerika Syarikat (AS) apabila rakyatnya melengkapkan penyata cukai pendapatan persekutuan setiap tahun, mereka akan ditanya sama ada bersedia untuk menyumbang AS$3 kepada Dana Kempen Pilihan Raya Presiden.
Jika bersetuju, maka AS$3 akan dimasukkan ke dana kempen tersebut dan duit sumbangan rakyat itu akan menyediakan pembiayaan awam bagi pilihan raya presiden mereka.
Tidak ada paksaan. Rakyat menyumbang secara sukarela untuk memilih pemimpin. Dan dana itu akan digunakan secara sama rata kepada calon-calon yang bertanding jawatan presiden. Walaupun tidak semua rakyat menyumbang di mana pada satu ketika langsung tidak ada sumbangan. Namun hingga kini jumlah dana itu lebih AS$400 juta atau sekitar RM1.7 bilion.
Dana awam itu digunakan untuk menegakkan demokrasi di AS. Lagi pula kos seseorang untuk menjadi presiden AS bukannya murah. Dalam kempen presiden 2012, penyandangnya Barack Obama dan pencabar Mitt Romney masing-masing membelanjakan lebih AS$1 bilion. Ia dianggap pilihan raya presiden paling mahal pada masa itu, dengan Obama memenangi penggal kedua.
Pada 2016, kos keseluruhan perlumbaan ke Rumah Putih—perbelanjaan oleh semua calon—berjumlah sekitar AS$2.4 bilion pada tahun itu (berbanding jumlah perbelanjaan 2012 sebanyak AS$2.6 bilion).
Bagaimanapun, pilihan raya 2020 meledakkan semua rekod perbelanjaan sebelumnya. Secara keseluruhan, pilihan raya itu menelan belanja sebanyak AS$14 bilion.
Dari mana semua duit ini datang bagi membiayai kos untuk menjadi presiden AS yang begitu tinggi? Jika dana awam hanya ada sekitar AS$400 juta, maka setiap calon yang mahu bertanding perlu mencari dana sendiri. Untuk itu di AS ada Jawatankuasa Tindakan Politik atau Political Action Committee (PAS) yang berperanan mengawasi dana yang dikumpul oleh calon-calon yang bertanding.
Setiap parti yang menge­mukakan calon untuk bertan­ding jawatan presiden akan menubuhkan PAC mereka sendiri dan ia mesti didaftarkan dengan Jawatankuasa Pilihan Raya Persekutuan AS dalam tempoh 10 hari selepas penubuhannya. Ia mesti memberikan nama dan alamat untuk PAC, bendaharinya, dan mana-mana organisasi gabungan. Untuk tujuan had sumbangan, semua PAC yang bergabung dianggap sebagai satu penderma. Namun jumlah sumbangannya juga ada hadnya untuk setiap tahun, bukannya ratusan juga atau berbilion ringgit seperti mana yang berlaku di Malaysia.
PAC pertama ditubuhkan pada 1944 untuk mengumpul wang untuk pemilihan semula Presiden Franklin D. Roosevelt ketika itu. Namun terdapat banyak garis panduan mengenai cara PAC mengumpul dana dan menderma sumbangan mereka kepada kempen dan/atau tujuan politik.
PAC juga dikehendaki mendedahkan maklumat tentang semua individu yang menyumbang kepada mereka. Walau bagaimanapun, kadangkala nama-nama ini tidak didedahkan sehingga selepas pilihan raya (apabila undi telah dibuat). Di sebalik peraturan yang ketat itu pun wujud manipulasi dan salah guna dana.
Jika kita mengambil contoh pilihan raya di AS, setiap perbelanjaan oleh parti-parti politik atau calon yang bertanding itu jelas. Jika ada sumbangan daripada individu atau korporat semua orang tahu ia datang dari mana dan disalurkan kepada siapa.
Ia bukan sumbangan secara senyap seperti mana yang berlaku dalam politik Malaysia hingga membawa kepada penyelewengan, penyalahgunaan dan rasuah.
Di Malaysia, persepsinya politik adalah rasuah. Rasuah dan politik berjalan seiringan. Apabila ada orang melibatkan diri dalam politik mesti dikaitkan mahu jadi kaya atau kumpul harta. Sejujur mana pun ahli politik di negara ini, mereka tetap akan terkena tempias daripada perbuatan segelintir rakan seperjuangan yang tidak beretika.
Istilah nepotisme dan kronisme adalah ungkapan biasa dalam politik dan kerajaan. Seolah-olah sudah diterima umum. Ia seperti sudah menjadi norma. Sudah menjadi perkara biasa. Dan lebih parah sudah menjadi darah daging dalam politik negara kita hingga rakyat pun tidak segan silu meminta bantuan daripada pemimpin politik mereka, dan sebagai balasan akan diundi pada pilihan raya atau disokong menjadi pemimpin cawangan, bahagian atau negeri.
Kita ada undang-undang yang mengawal perbelanjaan oleh setiap calon sama ada Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN). Tetapi ia terlalu umum sekadar mengatakan calon tidak boleh berbelanja melebihi jumlah tertentu. Namun, kalau orang lain berbelanja bagi pihak calon atau parti yang belanja tidak dinyatakan secara jelas.
Sepatutnya, kita perlu ada satu peraturan jelas yang meminta setiap parti politik mengisytihar jumlah dan sumber dana politik mereka.
Jika ada peraturan yang jelas mengenai dana politik, maka isu derma RM2.6 bilion membabitkan bekas perdana menteri mungkin tidak akan berlaku.
Begitu juga dengan dana lebih RM300 juta yang didakwa dimiliki oleh parti Bersatu yang kini menjadi tumpuan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Disebabkan peraturan mengenai aliran keluar masuk dana pilihan raya ini tidak jelas di negara kita, maka ia sentiasa terdedah kepada manipulasi. Ada yang mengatakan sumbangan, derma dan sedekah. Tetapi bukan rasuah walaupun cara ia diperolehi dan diagihkan sangat mencurigakan.
Maka tidak hairan berlaku penyelewengan dana kerajaan untuk tujuan pilihan raya. Tidak ada kawalan dan pemantauan. Andai kata parti politik berkenaan menjadi kerajaan maka perbuatan mereka akan terlepas.
Ini semua menjejaskan imej Malaysia di mata dunia. Ia memberi kesan kepada kedudukan negara kita dalam indeks persepsi rasuah dunia.
Sebagai sebuah negara membangun yang jauh ke depan dan hampir memasuki status negara maju, Malaysia sepatutnya menjadikan usaha membersihkan rasuah dalam politik sebagai keutamaan.
Dengan kedudukan kita pada tangga 61 dalam Indeks Persepsi Rasuah 2022, sepatutnya kita malu untuk mengatakan negara kita adalah negara Islam. Negara Islam sepatutnya bebas daripada rasuah.

Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya