KUALA TERENGGANU : Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan perbelanjaan mewah Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
Ketua Penerangan Bersatu Terengganu, Badrolhisham Mohd. Shafie berkata, laporan tersebut dibuat berdasarkan kenyataan penulis blog, Raja Petra Raja Kamarudin dalam satu kandungan video bertajuk ‘PRU15: BN belanja RM6 juta dan PH belanja RM10 juta satu kerusi Parlimen’, baru-baru ini.
Menurutnya, berdasarkan kandungan video tersebut, Raja Petra mendakwa BN telah membelanjakan RM1.074 bilion bagi 179 kerusi Parlimen manakala PH membelanjakan RM2.2 bilion bagi 220 kerusi Parlimen semasa PRU15.
“Jumlah yang dinyatakan itu terlalu besar bagi mana-mana parti politik di Malaysia sehingga menimbulkan keraguan pelbagai pihak dari mana sumber dana diperolehi,” katanya pada sidang akhbar selepas membuat laporan di pejabat SPRM Terengganu di sini, hari ini.
Badrolhisham memberitahu, tujuan aduan itu dibuat agar pihak SPRM membuat siasatan dengan telus dan amanah terhadap dakwaan Raja Petra mengenai perbelanjaan mewah PH dan BN termasuk penggunaan helikopter semasa PRU15 dan dari mana sumber tersebut diperoleh.
Tambahnya, siasatan juga perlu dilakukan terhadap sumber pendapatan sebenar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan anaknya, Nurul Izzah sehingga mereka boleh hidup mewah tanpa mengambil gaji.
“Badan Pimpinan Bersatu Terengganu hari ini membuat laporan SPRM agar siasatan dapat dilakukan terhadap parti tersebut (PH dan BN) termasuk Ahli Parlimen, ejen pilihan raya atau mana-mana orang lain bagi pihak parti berkenaan.
“Siasatan juga perlu melibatkan struktur organisasi parti, sama ada berlakunya transaksi yang melibatkan hasil daripada aktiviti haram atau rasuah semasa tempoh PRU15,” ujarnya. – UTUSAN