Bersatu minta tiada siasatan terpilih

Bersatu minta tiada siasatan terpilih

KHAIRUL Anuar Ramli (tengah) ketika hadir membuat laporan menggesa siasatan terhadap PH dan BN di pekarangan Pejabat SPRM Kedah di Alor Setar. -UTUSAN/JAMLIAH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat secara telus dan terbuka dakwaan bahawa Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) berbelanja mewah ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Penerangan Bersatu Kedah, Khairul Anuar Ramli berkata, pihaknya mempunyai banyak bukti berhubung dakwaan tersebut yang menimbulkan pelbagai keraguan.

“SPRM harus jalankan siasatan telus dan jangan siasat ikut telunjuk parti politik tertentu. Seperti kita tahu, baru-baru ini berlaku siasatan terhadap Bersatu yang mana akaun dibekukan kerana dakwaan tidak berasas konon kita terima dana tak betul untuk kempen PRU15.

“Kita minta SPRM jangan hanya siasat akaun Bersatu, Pas dan Gerakan sahaja, siasat juga akaun PH dan BN. Jangan hanya dakwaan dan siasatan terpilih untuk memenuhi selera politik pimpinan atau parti politik tertentu hingga jadikan Bersatu mangsa kepada politik kotor,” katanya selepas membuat laporan di Pejabat SPRM Kedah, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, pemimpin PH dan BN berbelanja besar apabila mampu mengadakan papan tanda, memberi cabutan bertuah kepada pengundi serta menggunakan helikopter sepanjang berkempen. 

“Sedangkan kita tahu syarat atau kelayakan bagi kerusi Parlimen seorang calon boleh berbelanja tidak lebih RM200,000. Saya buat laporan ini agar SPRM membuat siasatan secara telus dan adil kepada parti yang disebut termasuk Ahli Parlimen, ejen pilihan raya atau mana-mana orang lain bagi pihaknya.

“Itu termasuk struktur organisasi parti sama ada berlaku transaksi yang melibatkan hasil daripada aktiviti haram atau rasuah semasa tempoh PRU15. 

“Sebelum ini juga media pernah melaporkan bahan kempen yang diguna oleh kedua-dua parti ini sangat mencurigakan apabila mampu menyewa papan iklan di lebuh raya, manakala Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan helikopter semasa berkempen, serta ada cabutan bertuah dengan hadiah yang mewah dan mahal,” katanya.

Tambah Khairul Anuar, SPRM juga perlu menyiasat Anwar serta anaknya, Nurul Izzah yang dilaporkan tidak mengambil gaji bulanan.

“Kedua-dua laporan tersebut menimbulkan persoalan bagaimana anak beranak ini menyara kehidupan atau adakah mereka menerima dana daripada sumber yang rahsia,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya