KUALA LUMPUR: Kritikan hebat terhadap Fadhlina Sidek sebagai Menteri Pendidikan berbeza dengan menteri sebelum ini, namun beliau perlu segera ‘bangun’ untuk dilihat sebagai tokoh pemimpin pendidikan yang diyakini rakyat dan menunjukkan hala tuju pendidikan negara.
Menurut Pensyarah Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Fakulti Pendidikan UKM, Dr. Anuar Ahmad, Fadhlina perlu mendapatkan kembali kepercayaan rakyat terhadap kepemimpinannya menerajui Kementerian Pendidikan Malaysia.
Ini kerana, jelas Anuar lagi, sudah pasti tindakannya itu akan memberi impak kepada Pakatan Harapan (PH) khususnya.
“Belum pun mencecah 100 hari sebagai Menteri Pendidikan, beliau telah menjadi sasaran kritikan pelbagai pihak termasuk dalam kalangan guru-guru sendiri yang tidak berpuas hati dengan prestasi pendidikan semasa.
“Bagi berlaku adil, sebahagian besar kritikan terhadap beliau sebenarnya berpunca dari kegagalan kepemimpinan pendidikan yang sebelumnya. Tetapi itu bukanlah alasan yang kukuh untuk diterima bulat-bulat. Di mata masyarakat, pelbagai isu pendidikan nampaknya seperti tidak ada penyelesaian dan hala tuju yang jelas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya lagi, ketika di awal kepemimpinannya sebagai Menteri Pendidikan, tindakan Fadhlina disambut baik dengan membentangkan tujuh Teras Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Bagaimanapun, jelas Anuar lagi, agenda tersebut terhenti setakat itu sahaja dan tiada pelan strategik atau pelan tindakan susulan yang dibentangkan untuk meyakinkan rakyat tentang kesungguhan beliau dalam usaha menjayakan tujuh teras KPM tersebut.
“Malah, slogan yang beliau perkenalkan – ‘Murid Ceria, Guru Bahagia, Sekolah Bitara dan Negara Sejahtera’ dilihat tidak menggambarkan realiti sebenar sistem pendidikan negara.
“Begitu juga dengan beberapa keputusan beliau sebagai Menteri Pendidikan yang telah dikritik hebat termasuklah isu pelantikan MPPK dan pendekatan beliau meluluskan peruntukan KPM kepada sekolah-sekolah yang dilawati sehingga menimbulkan rasa kurang senang pada sekolah lain yang tidak dilawati.
“Begitu juga kritikan tertalu-talu terhadap beliau dan pengurusan KPM dalam isu keberkesanan PBD, UASA, IDME, kekurangan guru, beban guru, ‘little Napolean’ dan yang paling ‘panas’ berkaitan isu silibus sekolah rendah yang terlalu berat dan tinggi,” ujarnya lagi.
Katanya, keputusan Fadhlina untuk menangguhkan keputusan sama ada meneruskan atau tidak pelaksanaan sistem pentaksiran UPSR dan PT3 sehingga akhir tahun 2025 dilihat sebagai keputusan yang tidak wajar kerana tempoh masanya hampir tiga tahun dari sekarang.
“Rakyat bertanya-tanya, mengapa dibiarkan isu dan kemelut PBD, UASA, UPSR dan PT3 ini berterusan untuk tiga tahun lagi? Mengapakah tidak diputuskan sekarang dari dibiarkan pendidikan anak-anak dalam ‘tergantung -gantung’?
“Malah beberapa keputusan beliau mula diragui oleh rakyat. Misalnya, arahan terbuka beliau supaya pegawai KPM berhenti menyekat dan memberikan amaran kepada guru-guru yang bersuara tentang sistem pendidikan negara di media sosial sehingga kini belum disusuli dengan surat rasmi pekeliling oleh pengurusan tertinggi KPM,” ujarnya.
Kemudiannya, tambah Dr. Anuar, keraguan rakyat terus timbul apabila beliau berjanji untuk menyelesaikan sepenuhnya isu kekurangan 3,000 guru sebelum bulan Mac 2022 ini di Sarawak dan kemudian di negeri yang lain.
Sedangkan hari ini, katanya, sudah 10 Februari 2023, bolehkah diselesaikan sepenuhnya kekurangan 3,000 guru di Sarawak dalam tempoh masa yang berbaki sebelum masuknya bulan Mac nanti seperti yang dijanjikan?
“Sebenarnya, sukar untuk menjangkakan apakah rakyat akan terus meyakini gaya kepemimpinan beliau di dalam memimpin sektor pendidikan negara sehingga PRU16. Apakah kritikan demi kritikan yang sedang bertali arus terhadap beliau dan pengurusan KPM akan berterusan? Apakah kritikan seperti ini akan memberi pengaruh kepada kepercayaan rakyat terhadap Pakatan Harapan kemudiannya?” soalnya lagi. – UTUSAN