Belum ada warga Malaysia terlibat gempa di Turkiye

Belum ada warga Malaysia terlibat gempa di Turkiye

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir mengesahkan bahawa setakat ini tidak ada rakyat Malaysia terlibat dalam gempa dahsyat di selatan Turkiye pagi tadi.

Menerusi kenyataan di sini hari ini, beliau turut sudah menghubungi rakan sejawatannya, Mevlut Cavusoglu bagi menzahirkan perasaan simpati Malaysia terhadap negara tersebut.

“Saya telah bercakap sendiri dengan beliau selain mengutuskan ucapan takziah kerajaan dan rakyat Malaysia ke atas mangsa serta untuk kerajaan dan rakyat Turkiye,” jelasnya.

Gempa berukuran 7.8 skala Magnitud berdurasi 75 saat dilaporkan melanda barat bandar raya Gaziantep dekat sempadan Syria pada pukul 4.17 pagi (9.17 pagi waktu Malaysia) dengan 912 orang maut dan 5,385 lagi cedera meliputi 10 wilayah di Turkiye dengan lebih 100 buah bangunan runtuh termasuk kompleks beli-belah.

Sementara jirannya pula, Syria mengesahkan sehingga kini sudah 450 orang terbunuh, manakala 988 orang lagi cedera dengan ada mangsa tertimbus di bawah runtuhan kediaman.

Mengulas lebih lanjut, Zambry berkata, menerusi perbualan dengan Cavusoglu, beliau diberikan peluang mendapatkan perkembangan terkini insiden bencana alam dahsyat itu.

“Sebagai tanda solidariti, saya turut memaklumkan mengenai penghantaran 75 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke negara itu,” tambahnya.

Kumpulan berkenaan akan menaiki pesawat Turkish Airlines penerbangan TK61 berlepas pukul 11.50 malam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur menuju Istanbul.

Dari bandar raya terbesar Turkiye itu, mereka akan menempuh perjalanan sejauh 1,150 kilometer lagi atau 12 jam berkereta ke lokasi gempa yang agak berhampiran Gaziantep.

Beliau menjelaskan bahawa SMART akan ditugaskan untuk membantu pihak berkuasa tempatan dalam misi pencarian dan penyelamatan mangsa yang masih ramai tertimbus.

Pada masa sama, Zambry menasihatkan ratusan warga Malaysia di seluruh Turkiye agar kekal bertenang dan mengikuti segala perkembangan semasa mengenai kejadian itu.

Dianggarkan terdapat lebih 400 warga Malaysia bertugas di seluruh Turkiye selain hampir 500 pelajar negara ini yang masih menuntut di pelbagai institusi pengajian tinggi di sana.

Bilangan ini tidak termasuk kira-kira 100,000 pelancong Malaysia yang datang bercuti pada setiap tahun di beberapa destinasi tumpuan utama para pelawat antarabangsa di Turkiye. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya