KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin antara ahli Parlimen yang hadir ke Bangunan Parlimen bagi mendengar pembentangan Belanjawan 2023.
Selain Muhyiddin, antara dilihat hadir Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga bekas Perdana Menteri; Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Turut hadir, Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Terdahulu, ahli-ahli Dewan Rakyat dilihat tiba ke Parlimen sekitar 2 petang.
Pada hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan akan membentangkan Belanjawan 2023 yang bertemakan ‘Membangun Malaysia Madani’.
Beliau sebelum ini dilaporkan berkata Belanjawan 2023 akan mengambil kira cabaran ekonomi semasa dan pada masa sama, memacu pertumbuhan ekonomi negara di samping menarik pelaburan.
Katanya, kerajaan juga mengambil kira daya saing negara, kepantasan kelulusan perniagaan serta beberapa inisiatif baharu termasuk pendigitalan dan penggunaan mampan selain pengeluaran sumber asli dalam proses hiliran dalam Belanjawan 2023. – UTUSAN