PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) menerima peruntukan kedua terbesar dalam Belanjawan 2023 iaitu sebanyak RM36.3 bilion berbanding RM32.4 bilion pada tahun lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan tersebut akan melibatkan perolehan ubat-ubatan, reagent, vaksin dan bahan guna habis.
Menurut beliau, ia juga termasuk RM3 bilion bagi lantikan baharu secara tetap dan kontrak lebih 1,500 pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi.
“Malah, berkait isu kesesakan kemudahan kesihatan kerajaan, beberapa langkah akan diambil iaitu kapasiti kesihatan negara akan dioptimum dengan menyumber luar pesakit daripada hospital yang sesak kepada hospital lain termasuk hospital universiti, hospital tentera serta kepada hospital swasta.
“Kerajaan akan memperkenalkan Skim Perubatan Madani khusus untuk golongan miskin mendapatkan rawatan kesihatan di klinik dan pengamal perubatan am swasta (GP) sepertimana yang dilaksanakan Kerajaan Selangor. Sebanyak RM120 juta disediakan untuk tujuan ini,” katanya.
Tambahnya, kerajaan juga bercadang, hospital kebajikan yang berdaftar sebagai Syarikat Berhad Menurut Jaminan diberi pengecualian cukai pendapatan bersamaan amaun perbelanjaan kebajikan dan para penderma juga akan mendapat potongan cukai sehingga 10 peratus.
“Bagi mengurangkan kesesakan di Hospital Melaka, kerajaan akan membina blok wanita dan kanak-kanak dengan kapasiti 476 katil dengan kos hampir RM700 juta.
“Kerajaan juga akan memulakan kerja awalan untuk menaik taraf sebanyak 26 buah hospital termasuk pembesaran Hospital Kuala Kangsar, Perak; Jelebu, Negeri Sembilan dan Hospital Pontian, Johor yang telah berusia hampir seabad,” katanya. – UTUSAN