Belanjawan 2023: Kecewa tiada rancangan tingkat, baiki pengangkutan awam P. Pinang - Utusan Malaysia

Belanjawan 2023: Kecewa tiada rancangan tingkat, baiki pengangkutan awam P. Pinang

OH TONG KEONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Belanjawan 2023 yang dibentangkan semalam dianggap mengecewakan buat Pulau Pinang kerana tidak menyentuh secara khusus mengenai rancangan meningkatkan serta memperbaiki mutu pengangkutan awam di negeri ini.

Timbalan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Oh Tong Keong berkata, pelbagai rancangan melibatkan pengangkutan seperti projek transit aliran ringan (LRT), terowong bawah laut serta gondola di Bukit Bendera yang dijangka menelan kos sehingga RM100 juta langsung tidak disebut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan belanjawan tersebut.

Sebaliknya, kata beliau, satu-satunya rancangan pembangunan melibatkan pengangkutan yang diterima oleh Pulau Pinang hanyalah pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

“Ini (rancangan pembesaran LTAPP) adalah satu perkara yang disambut baik oleh DAP, tetapi, peruntukan dan pembangunan yang diterima oleh Pulau Pinang ketika ini tidak seimbang dengan sumbangan cukai yang diberikan oleh negeri ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelas Tong Keong yang juga Pengerusi Gerakan negeri, pemimpin DAP sebelum ini sentiasa menganggap peruntukan yang diberikan oleh Kerajaan Pusat kepada Pulau Pinang sangat sedikit.

Katanya, mereka sering menyerang kerajaan sebelum ini kerana mengabaikan rakyat negeri ini dan dua bekas Ketua Menteri iaitu Lim Guan Eng dan Chow Kon Yeow turut mengkritik Kerajaan Pusat atas ‘hukuman’ yang dikenakan ke atas Pulau Pinang.

“Sekarang, saya ingin bertanya kepada pemimpin DAP, adakah Presiden PH dari Pulau Pinang iaitu Anwar yang juga Perdana Menteri telah memperlakukan negeri Pulau Pinang dengan baik? Jawapannya jelas sudah ada.

“Mengapa Belanjawan 2023 yang dikemukakan oleh Anwar memberikan peruntukan yang sedikit kepada Pulau Pinang?

“Mengapa pemimpin DAP masih berdiam diri dan tidak berani berkata-kata? Guan Eng dan Kon Yeow, di mana keberanian anda?” soalnya.

Tong Keong berkata, beliau juga berani mengatakan belanjawan yang dibentangkan oleh Anwar itu mengecewakan rakyat Pulau Pinang kerana telah melupakan janji-janji peruntukan untuk rakyat.

“Jangan lupa Pulau Pinang adalah salah satu negeri yang memberikan sumbangan cukai yang terbesar kepada negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya