KUALA LUMPUR: Kerajaan akan membina jalan baharu serta menaik taraf jalan raya yang menjadi lokasi tumpuan pelancong.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, antara lokasi yang menjadi tumpuan adalah di Cameron Highlands, Port Dickson dan Johor Bahru.
“Kerajaan akan membina jalan baharu dari Habu ke Tanah Rata, Cameron Highlands, Pahang dengan kos sebanyak RM480 juta; menaik taraf Jalan Tun Hamzah ke persimpangan Semabok Lebuh AMJ Daerah Melaka Tengah dengan kos sebanyak RM300 juta.
“Kerajaan juga akan membina jalan dan jambatan Sungai Sepang bagi menghubungkan Bukit Pelandok, Port Dickson dan Sungai Pelek, Sepang dengan kos projek RM160 juta; dan menambah baik kemudahan jaringan lebuhraya ke Pengerang melalui pembinaan lorong memotong di Senai Desaru Expressway,” katanya ketika membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat hari ini.
Katanya, kerajaan juga bersetuju melaksanakan projek naik taraf Lebuhraya Utara Selatan di dari Yong Peng Utara ke Senai Utara – Fasa 1, Johor.
“Ini daripada empat kepada enam lorong dengan kos RM525 juta secara berfasa,” katanya. – UTUSAN