PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta semua pihak memberi ruang kepada badan penguatkuasaan untuk bertindak dengan tegas dalam menjalankan siasatan susulan pembekuan sebuah akaun parti politik, baru-baru ini.
Menurut Perdana Menteri, gesaan itu diambil supaya hal seperti salah guna kuasa dan rasuah tidak lagi berulang.
“Soal pembekuan parti politik bukan baru, semasa akuan parti UMNO dibeku, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi sokongan kuat mempertahankan tugas profesionalisme Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Sekarang pembekuan itu dilakukan atas akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana jumlah besar dan dikaitkan juga dengan beberapa (pengurusan kerajaan) bawah pimpinan beliau.
“Sepatutnya mereka bersiap untuk memberikan penjelasan dan jangan ganggu badan penguatkuasaan dan kemudiannya andai kata ada pendakwaan, (maka) biar badan kehakiman bertindak bebas.
“Saya buat seruan ini kerana saya lihat kadang-kadang digunakan alasan agama yang remeh. Mana mungkin mana-mana agama digunakan untuk mempertahankan rasuah dan penyalahgunaan kuasa apatah lagi Islam yang tegas menolak (dua perkara itu),” katanya dalam sidang media, petang ini.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyurat Majlis Pimpinan Pusat PKR di Ibu Pejabat Keadilan, di sini.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Presiden PKR berkata, inisiatif menghentikan penyalahgunaan kuasa untuk menyelamatkan negara juga memerlukan langkah merentas parti, kaum dan wilayah.
“Negara diambang kerosakan kerana kerterlanjuran rasuah sudah menjadi sebahagian sistem yang tidak mudah dirungkai.
“Oleh itu pemimpin politik jangan guna alasan kaum untuk mempertikai gerakan membanteras rasuah,” katanya.-utusan