Beku akaun bukan bersalah, ia proses siasatan - Sanusi

Beku akaun bukan bersalah, ia proses siasatan – Sanusi

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor menyampaikan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) kepada salah seorang penerima sempena Majlis Penyampaian Geran dan Hari Apresiasi JPKK Daerah Langkawi di Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi di Kuah. -UTUSAN/NUR AMALINA AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bernilai lebih RM40 juta adalah proses biasa dalam siasatan.

Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pembekuan akaun tersebut bukan bermakna parti tersebut adalah bersalah tetapi bagi memudahkan siasatan.

“Beku akaun tu bukan bersalah, itu proses siasatan. Ada sesetengah orang yang anggap apa-apa yang beku itu salah, dak (bukan) belum lagi. Nak siasat, supaya akuan itu tak berlaku transaksi, maka dibekukan sementara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Majlis Penyampaian Geran dan Hari Apresiasi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Daerah Langkawi di Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi, hari ini.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu mengulas tentang akaun Bersatu yang dibekukan bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi bernilai RM92.5 bilion.

Tambah Muhammad Sanusi, tiada larangan untuk mana-mana parti politik menerima sumbangan daripada pihak tertentu bagi kegunaan parti kerana tiada akta mengenai dana politik di negara ini.

Jelasnya, mana-mana pihak boleh memberikan sumbangan kepada parti politik yang dikehendakinya dan parti politik mempunyai hak untuk menerima sumbangan tersebut.

“Dulu nak dibentang di Parlimen akta dana politik ini, untuk larang parti-parti terima derma. Habis parti nak bergerak macam mana? Larat (mampu) kah orang nak jadi macam Pas semua. Pas tak apa, tok lebai tin milo. Kami guna duit poket kami,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Menteri Besar berkata, penduduk yang tidak berjaya memohon unit kediaman di dua projek Program Perumahan Rakyat (PPR) di Langkawi tidak patut tuding jari kepada kerajaan negeri kerana prosesnya dikendalikan Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, proses permohonan dan pemilihan PPR adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) termasuk proses tapisan, temuduga, dan pemilihan penghuni.

“Kita pernah hantar senarai yang diuruskan kerajaan negeri tetapi KPKT ada senarai sendiri dan saya harap pada masa depan KPKT akan terus memberikan projek-projek PPR ini untuk beberapa lokasi lagi, kita akan sediakan tanah,” katanya.

Tambahnya, setakat hari ini beliau dimaklumkan terdapat kira-kira 200 kekosongan lagi bagi kedua-dua PPR tersebut dan proses rayuan sedang diuruskan oleh KPKT untuk diberikan kepada pemohon yang layak. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN