GEORGE TOWN: Harga beberapa jenis sayur-sayuran di negeri ini mula menunjukkan trend penurunan antara tiga hingga 42 peratus setakat semalam.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri, S. Jegan berkata, antara sayur-sayuran tersebut adalah tomato yang turun antara 5.3 hingga 42 peratus; kacang panjang (8.33 hingga 25 peratus); kacang buncis (2.9 hingga 42 peratus) dan brokoli (6.7 hingga 20 peratus).
Selain itu, katanya, harga terung panjang juga turun antara 6.7 hingga 20 peratus; terung bulat (6.7 hingga 25 peratus); kacang bendi (6.3 hingga 20 peratus); limau kasturi (6.3 hingga 22 peratus) dan lada benggala hijau (5.6 hingga 20 peratus).
”Memang penurunan harga ini tidak melibatkan kesemua jenis sayur-sayuran, namun dari segi bekalan sayur-sayuran ia mula stabil dan harganya juga telah menurun,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau Ops Suri dan Ops Menu di Pasar Awam dan Kompleks Makanan Bayan Baru, di sini hari ini.
Sebelum ini, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), dalam satu kenyataan berkata, harga sayur-sayuran di negeri ini meningkat sehingga 160 peratus.
Bagaimanapun menurut Jegan, terdapat sayur-sayuran lain dikesan mengalami kenaikan harga antara 2.13 hingga 73 peratus setakat semalam.
”Antaranya sayur sawi antara 7.14 hingga 33.33 peratus dan kailan (8.33 hingga 30 peratus).
”Penurunan dan kenaikan harga sayur-sayuran ini adalah berdasarkan permintaan, namun ingin kami ulangi tidak ada harga sayur-sayuran yang naik hingga 160 peratus,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Jegan berkata, menerusi Ops Menu yang dijalankan bagi memantau dan menangani isu harga makanan yang dimasak, sebanyak 5,264 pemeriksaan telah dilakukan di seluruh Pulau Pinang dan tiga tindakan kes telah diambil ke atas peniaga setakat semalam.
”Tindakan diambil melibatkan kesalahan-kesalahan di hawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011,” katanya.
Tambahnya, setakat semalam juga pihaknya mengeluarkan 36 Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) kepada peniaga borong dan runcit susulan isu kenaikan harga barangan. – UTUSAN