PUTRAJAYA: Perkhidmatan bas perantara percuma dari KL Sentral ke bangunan Parlimen akan mula diperkenal tidak lama lagi bertujuan menggalakkan penggunaan perkhidmatan awam di kalangan ahli Parlimen serta warga kerjanya.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, perancangan mengenai penyediaan perkhidmatan tersebut juga telah disampaikan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul.
“Saya sangat berharap ia dapat dilaksanakan pada sidang ini (13 Februari) serta sudah nyatakan hasrat kepada Speaker (Dewan Rakyat) dan beliau secara tidak rasmi bersetuju dengan cadangan tersebut.
“Dari segi mekanisme pula kita akan lihat bagaimana pelaksanaannya dan kita juga sudah minta pihak Prasarana untuk sediakan (bas) Rapid KL. Perbincangan lanjut akan dibuat dengan pihak pentadbiran Parlimen supaya isu keselamatan tidak dikompromi untuk pelawat yang perlu mengambil pas keselamatan,” katanya a selepas Majlis Tautan Mesra dan Perpaduan Kementerian Pengangkutan, di sini hari ini.
Menurut Anthony, jarak perjalanan dari KL Sentral ke bangunan Parlimen juga tidak terlalu jauh selain ia menempatkan pelbagai mod pengangkutan awam seperti LRT, MRT dan KTM Komuter.
Beliau juga yakin perkhidmatan bas perantara yang bakal diperkenalkan itu dapat mengurangkan kesesakan di bangunan berkenaan terutamanya ketika sidang Parlimen sedang berlangsung.
“Bila ada sidang Parlimen, boleh dikatakan antara 2,000 hingga 4,000 orang akan memasuki bangunan tersebut, bayangkan ahli Parlimen sahaja ada 222 orang, ini tidak termasuk kakitangan, pengamal media dan pegawai lain. Setiap daripaa mereka ini memandu kenderaan sendiri dan disebabkan itu berlakunya kesesakan.
“Selain itu, ramai ahli Parlimen (MP) yang ‘outstation’ menginap di sekitar kawasan KL Sentral, jadi saya nak galakkan MP supaya tidak perlu bawa kenderaan atau guna khidmat e-hailing ke Parlimen. Hasrat saya adalah untuk mudahkan warga Parlimen termasuk (petugas) media untuk ulang alik dan kurangkan kesesakan dan yang kedua, saya nak galakkan penggunaan pengangkutan awam, kalau MP dan menteri guna pengangkutan awam ia adalah isyarat yang baik kepada rakyat,” katanya.
Sementara itu, beliau menyifatkan kenyataan mengenai negara tidak mempunyai pakar teknikal tempatan yang khusus dalam bidang pengangkutan awam sehingga menjadi punca beberapa perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) sering rosak dan mengambil masa terlalu lama untuk dibaiki sebagai kesimpulan yang tidak tepat.
Menurutnya, Malaysia adalah sebuah negara yang sudah lama merdeka justeru mempunyai ramai pakar dalam kalangan anak tempatan membabitkan pelbagai bidang.
“Tak tepat kata yang Malaysia tiada pakar teknikal, kita ada ramai pakar, jurutera dan sebagainya. Jadi saya harap tidak buat kesimpulan yang terlalu umum atau ‘sweeping statement’ kerana ia tidak adil kepada pihak lain.
“Malah kerosakan baru-baru ini babitkan LRT Bandaraya juga bukan disebabkan masalah teknikal, sebaliknya terdapat keretakan struktur jejambatnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Law Teik Hua mengenai negara tidak mempunyai pakar teknikal daripada kalangan anak tempatan sehingga perkhidmatan LRT sering rosak dan mengambil masa terlalu lama untuk dibaiki. – UTUSAN