TELUK INTAN: Kemiskinan hidup menyebabkan seorang lelaki sanggup melakukan pekerjaan mengutip barangan terpakai di tempat pembuangan sampah yang dijual sebagai mata pencari untuk menyara isteri dan anak-anaknya.
Jasmin Bakaruddin, 47, yang tinggal menyewa sebuah rumah kecil bersama isteri dan lima anak berusia tujuh tahun hingga 21 tahun di Kampung Bahagia di sini berkata, hanya dengan cara itu sahaja dia mendapat sumber kewangan.
Katanya, dia tidak mempedulikan rasa malu terhadap pandangan masyarakat kerana melakukan pekerjaan itu yang kadangkala dibantu anak-anaknya demi mencari sumber kewangan.
“Saya tidak mempedulikan rasa malu mengutip sampah dan barang terpakai demi membesarkan lima anak saya.
“Dari tempat membuang sampah ini banyak barangan yang saya boleh jual seperti besi, botol plastik, kertas dan kotak dan lain-lain yang mendatangkan duit.
“Saya sudah biasa melakukan pekerjaan ini sejak dua tahun lepas. Barang-barang terpakai yang boleh dijual saya angkut menggunakan motosikal,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.
Sementara itu, isterinya, Noor Hazalina Abdullah, 40, berkata, dia bekerja sebagai pembantu kedai untuk membantu suaminya untuk menampung perbelanjaan mereka sekeluarga.
Menurutnya, dia tidak pernah memandang rendah usaha suaminya yang mengutip barangan terpakai sebagai mata pencarian untuk mereka.
“Apa nak malukan, bukannya mencuri. Ada orang tanya kenapa bawa anak-anak kutip sampah, bagi saya biarlah daripada mereka duduk di rumah, dapat juga mereka membantu bapa mereka,” katanya.
Katanya, mereka kini tinggal menyewa dengan kadar bayaran RM150 sebulan dan menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM600 sebulan.
“Kami mengimpikan rumah sendiri untuk kehidupan yang lebih selesa untuk anak-anak kami,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu keluarga ini boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Jasmin Bakaruddin 0111-7411-0004-44798. – UTUSAN