KUALA TERENGGANU: Seorang bapa mengambil inisiatif melakukan kerja sampingan dengan memperagakan kostum pelbagai watak adiwira untuk mencari pendapatan tambahan menyara keluarga.
Mohd. Amirul Alif Jofri, 32, berkata, dia mula memakai kostum itu sejak tiga tahun lalu dan pendapatan yang diperoleh amat menggalakkan.
Menurutnya, kebiasaannya orang ramai akan memberi sumbangan selepas mengambil gambar dan video bersamanya yang memakai kostum watak adiwira kegemaran mereka.
Katanya, dia juga turut ditemani anak bongsunya, Mohd. Afif Darwis, 8, yang turut memakai kostum sama.
“Antara kostum yang sering diperagakan ialah Power Rangers, Batman dan Spiderman,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Pasar Kedai Payang di sini semalam.
Selain itu, Mohd. Amirul memberitahu, dia juga menerima undangan di majlis-majlis keraian di sekitar negeri ini dengan bayaran RM100 sejam.
“Alhamdulillah, selain dapat menceriakan suasana majlis dan pada masa sama, saya juga dapat rezeki tambahan dengan memakai kostum ini,” katanya.
Bapa kepada dua anak itu mena Mohd. Afif Darwis akan memakai kostum itu di lokasi tumpuan pelancong seperti Pasar Kedai Payang dan Pantai Batu Buruk untuk mencari rezeki.
“Saya tidak menetapkan sebarang bayaran kerana terpulang kepada pengunjung untuk menyumbang seikhlas hati mereka.
“Saya hanya menjadikan kostum ini sebagai pendapatan sampingan kerana kerja utama saya ialah membantu ibu menjual permainan kanak-kanak di sekitar bandar raya Kuala Terengganu.
“Pada zaman ekonomi serba mencabar ketika ini, kita perlu berusaha kuat untuk menambah pendapatan menyara keluarga. Tidak boleh hanya merungut tanpa berbuat apa-apa atau menyalahkan mana-mana pihak,” katanya. – UTUSAN