ALOR SETAR: Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 sepatutnya diagihkan menjelang pembukaan sesi baharu persekolahan yang bermula pertengahan bulan depan.
Apa yang berlaku sekarang adah ramai dalam kalangan ibu bapa telah menggunakan bantuan itu bagi menampung perbelanjaan harian.
Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Pihak Swasta (PIBKS) Kedah menerima aduan daripada ramai ibu bapa yang mendakwa semakin tertekan untuk menyediakan kelengkapan menjelang sesi baharu persekolahan.
Bukan itu sahaja, Pengerusinya, Zainol Abidin Mohamad berkata, Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 yang diterima pelajar sejak awal Januari lepas sudah habis digunakan termasuk untuk menampung perbelanjaan seharian.
“Banyak yang tertekan, cuti sekolah baru bermula dan masing-masing sudah mencongak untuk mencari wang bagi membeli kelengkapan sekolah anak-anak. Tidak kurang ada juga yang berjumpa dengan kami untuk mendapat bantuan.
“BAP diberi pada awal Januari, jadi bukan sesuatu menghairankan jika wang itu sudah digunakan ketika ini. Sepatutnya wang ini diagih sebelum sesi baharu dibuka Mac ini,” katanya ketika dihubungi, di sini semalam.
Zainol Abidin berkata, situasi lebih menekan sebahagian ibu bapa memandangkan sesi pembukaan sekolah jatuh pada bulan sama umat Islam menyambut Ramadan.
“Saya dapat agak bahawa sesi kali ini benar-benar mencabar untuk ibu bapa terutama yang bekerja sendiri dan swasta terutama golongan B40. Kami menyuarakan kebimbangan kerana masalah kewangan ini akan menyumbang kepada keciciran pelajar.
“Saya sudah mengingatkan semua persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) memantau keadaan pelajar di sekolah masing-masing. Jika ada yang bermasalah harap mereka tampil membantu,” katanya.
Beliau juga menasihatkan ibu bapa agar menjauhi pinjaman tidak berlesen seperti ah long bagi mengelak mereka terus terbeban dengan kadar faedah yang tinggi.
“Jika betul-betul ada masalah dapatkan bantuan daripada pihak yang tertentu jangan sesekali mendekati ah long, buruk padahnya. Saya percaya banyak PIBG yang akan membantu,” katanya. – UTUSAN