Bantuan perumahan: MAIPs peruntuk RM15.053 juta tahun lalu bantu asnaf - Utusan Malaysia

Bantuan perumahan: MAIPs peruntuk RM15.053 juta tahun lalu bantu asnaf

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (dua dari kiri) berkenan untuk singgah di salah sebuah rumah asnaf sekitar kawasan Kurong Anai, Arau, Perlis bagi menyampaikan sumbangan agihan zakat MAIPs. -UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) telah memperuntukkan sejumlah RM15.053 juta membabitkan pelbagai Skim Bantuan Perumahan buat golongan asnaf, fakir dan miskin pada tahun lalu.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM11.993 juta telah disalurkan kepada 128 keluarga yang layak menerima Bantuan Sebuah Kediaman MAIPs Peduli.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor berkata, selain itu, sebanyak 205 buah keluarga lagi turut menerima Bantuan Baik Pulih Kediaman sebagai usaha bagi membantu pihak terlibat untuk mendiami rumah lebih selesa.

“MAIPs turut menyalurkan Bantuan Baik Pulih Mikro sebanyak RM3.06 juta melalui 102 buah kariah di negeri ini pada tahun lalu,” katanya.

Terdahulu, Mohd Nazim berkesempatan mempersembahkan makluman sumbangan berkenaan kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang berkenan mengikuti Program Kayuhan MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf sekitar Kurong Anai, di sini,

Menerusi program itu, baginda turut berkenan berangkat singgah di rumah asnaf yang mempunyai masalah kesihatan antaranya Radzi Abdullah, Noorzira Azmi dan Siti Aminah Mad Isa bagi menyerahkan agihan zakat MAIPs.

Dalam perkembangan sama, Mohd Nazim berharap agar sumbangan di bawah Inisiatif Perumahan MAIPs itu akan dapat mencapai hasrat agihan bantuan zakat buat golongan asnaf di negeri ini.

“Sumbangan ini adalah bagi merawat kesukaran asnaf melalui matlamat pembangunan lestari secara berpanjangan,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya