Bangunkan Wilayah Persekutuan sebagai bandar raya unggul - Agong

Bangunkan Wilayah Persekutuan sebagai bandar raya unggul – Agong

AL-SULTAN ABDULLAH RI'AYATUDDIN AL-MUSTAFA BILLAH SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan supaya kerajaan terus memelihara kesejahteraan rakyat dan membangunkan Wilayah Persekutuan sebagai sebuah bandar raya unggul dan mampan.

Dalam hal ini, Al-Sultan Abdullah bertitah agar usaha tersebut dilipatgandakan sekali gus menjadikan kota raya ini sebagai bandar raya yang benar-benar bersih dan cantik.

“Jadikan bandar raya Kuala Lumpur bertaraf bandar raya kelas pertama, bukan kelas kedua atau ketiga dan saya berharap impian ini akan menjadi kenyataan,” titah Seri Paduka sempena Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan Tahun 2023 di Istana Negara, hari ini.

Berangkat sama Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Seri Paduka turut berharap bantuan kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah di Wilayah Persekutuan dapat diberikan tumpuan khusus oleh kerajaan.

Bantuan itu termasuk meningkatkan peluang pekerjaan dan membantu mengurangkan kos sara hidup yang membelenggu golongan miskin bandar serta yang kurang berkemampuan.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa gusar berhubung banjir kilat yang sering melanda Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan yang harus ditangani segera kerana kejadian itu bukan sahaja memberi kesan buruk kepada rakyat, malah boleh menjejaskan kerancakan pertumbuhan ekonomi.

“Justeru, pembangunan hendaklah sentiasa seiringan dengan inisiatif pemuliharaan alam sekitar dan pembangunan di kawasan tinggi serta berbukit, termasuk di kawasan yang menjadi tadahan hujan haruslah turut dikawal selia,” titah Seri Paduka.

Yang di-Pertuan Agong juga menzahirkan penghargaan atas usaha proaktif serta inisiatif Jabatan Wilayah Persekutuan dalam meningkatkan taraf hidup dan meringankan beban warganya melalui pelbagai program yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Seri Paduka bertitah, usaha itu termasuk pemberian bantuan kebajikan rakyat miskin dan terjejas pendapatan, usaha pembasmian miskin tegar bandar dan strategi penyediaan kediaman yang selesa untuk warga berpendapatan rendah.

“Beta juga amat bersyukur dengan komitmen kerajaan beta dalam menjaga kemaslahatan rakyat beta, khususnya dalam menangani isu-isu semasa yang secara tidak langsung merangsang pengukuhan sosio dan ekonomi rakyat.

“Pelbagai pembaharuan akan turut dilaksanakan dengan berpegang kepada prinsip menjaga kebajikan rakyat, mengeratkan perpaduan, meringan dan menaikkan taraf hidup rakyat beta di Wilayah Persekutuan,” titah Al-Sultan Abdullah.

Seri Paduka turut merakamkan ucapan tahniah kepada Anwar  atas pembentukan kerajaan perpaduan pasca-Pilihan Raya Umum ke-15 lepas.

Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa sukacita terhadap komitmen Anwar untuk menerapkan nilai-nilai integriti dalam kerajaan dan usaha segera untuk merungkai permasalahan ekonomi yang dihadapi rakyat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya