PENDANG: Sejak enam tahun lalu, kehidupan Mohd. Yusri Haiqal Mohd. Yusop, 33, mengurus dan menjaga bapa, Mohd. Yusop Sulaiman, 63, yang menghidap angin ahmar sementara ibu, Mahani Saleh, 58, pula pesakit kanser sejak dua tahun lepas.
Menurut Mohd. Yusri, ketika ini dia tidak langsung memikirkan masa depannya termasuk berumah tangga selain memastikan kedua ibu bapanya gembira di sebalik kesakitan dihadapi.
“Dulu saya kerja kilang di Kulim dan apabila ayah sakit, saya terpaksa pulang. Sebagai anak tunggal inilah tanggungjawab saya menjaga kerana dahulu mereka jaga saya sejak lahir, kini tugas itu saya pikul.
“Tak fikir langsung nak kahwin. Lagipun siapalah yang mahukan orang seperti saya,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Chegar di sini semalam.
Katanya, bapa diserang angin ahmar setelah terjatuh di rumah akibat penyakit darah tinggi sebelum ujian keluarga itu berterusan apabila ibunya pula disahkan menghidap kanser payudara tahap tiga dan terpaksa menjalani pembedahan pada Oktober tahun lepas.
“Mak jalani kemoterapi di Hospital Lama Alor Setar sebanyak enam kali dan kemudian radiografi di Hospital Pulau Pinang. Saya perlu bagi semangat kepadanya,” katanya.
Jelasnya, dia kini bekerja sebagai pembantu am di sebuah kedai besi di Jalan Langgar, di sini untuk menanggung keluarga dan memerlukan pekerjaan yang fleksibel kerana perlu membawa ibu dan bapa ke hospital.
Sementara itu menurut Mahani, dia disahkan menghidap kanser itu setelah mengesan ketulan di payudara kanan.
“Tahun lepas saya ambil keputusan untuk buang payudara dan sekarang sedang kemoterapi. Rawatan ini memang melemahkan tetapi saya kena kuat. Alhamdulillah saya ada seorang anak yang sentiasa berada di sisi,” katanya.
Katanya, perbelanjaan mereka seharian adakalanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan.
Bagi mereka yang ingin membantu keluarga ini boleh menyumbang kepada akaun Bank Islam, 02084020262878 (Mahani Saleh). – UTUSAN