Awang Hitam, Jelutung ‘raja buaya’ Kuala Linggi - Utusan Malaysia

Awang Hitam, Jelutung ‘raja buaya’ Kuala Linggi

AMY Ahmad menunjukkan lokasi hutan yang menjadi tempat buaya berjemur ketika air surut di sekitar muara Sungai Linggi, Kuala Linggi, Melaka. – UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Daripada anggaran 260 ekor buaya yang mendiami kawasan sekitar pesisir Pantai Tanjung Bidara, Pengkalan Balak dan Kuala Linggi di sini, ‘Awang Hitam’ dan ‘Jelutung’ merupakan dua sang bedal paling popular dalam kalangan nelayan tempatan.

Nelayan menganggap kedua-dua reptilia itu sebagai raja buaya di situ kerana saiznya melebihi enam meter panjang dengan berat mencecah 1,000 kilogram (kg) atau bersamaan satu tan metrik.

Data diperoleh berdasarkan Inventori Hidupan Liar Tahunan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menunjukkan, spesies utama di lokaliti berkenaan adalah buaya tembaga terdiri daripada pelbagai saiz.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang nelayan, Amy Ahmad, 53, berkata, walaupun Awang Hitam dan Jelutung memiliki saiz yang besar dan berwarna gelap, ia ‘belum’ pernah mengganggu atau menyerang nelayan.

Jelasnya yang sudah lebih 25 tahun menjadikan perairan berkenaan sebagai sumber pendapatan, kelibat puluhan buaya di sepanjang muara Sungai Linggi dianggap pemandangan biasa oleh mereka.

“Buaya-buaya di sini tidak mengganggu manusia dan nelayan juga tahu apa yang perlu dilakukan sekiranya berdepan haiwan pemangsa ini.

“Apa yang penting adalah tidak mengganggu dan elakkan daripada melakukan perkara yang mendatangkan risiko kepada diri sendiri,” katanya ketika ditemui di Jeti Nelayan Muara Kuala Linggi di sini, semalam.

Kelmarin akhbar ini melaporkan, Persatuan Chalet, Resort dan Homestay Melaka memaklumkan, pembatalan tempahan bilik oleh pelanggan disebabkan kehadiran seekor buaya di pantai peranginan Tanjung Bidara dan Pengkalan Balak masih terkawal, iaitu hanya kira-kira lima peratus pada musim cuti persekolahan ini.

Pengerusinya, Zakaria Othman berkata, meskipun ancaman itu tidak memberi kesan ketara kepada periuk nasi 132 pengusaha di daerah ini, satu tindakan drastik perlu dilakukan bagi mengelak daripada berlakunya tragedi tidak diingini.

Sementara itu, seorang lagi nelayan, Raikushairee Mohammad, 47, berkata, insiden pertembungan secara langsung de­ngan buaya kebiasaannya berlaku ketika menarik jaring atau pukat.

Katanya, buaya yang tersangkut pada jaring akan dilepaskan kembali ke sungai, namun ada juga yang tidak bernasib baik apabila ditemukan lemas akibat terbelit.

“Ini antara risiko yang dihadapi buaya apabila berkongsi habitat dengan manusia. Keadaan ini jarang berlaku tetapi kami akan cuba melepaskan buaya yang bersaiz kecil. Bagi saiz yang agak besar, kami tidak berani kerana bimbang ia bertindak agresif.

“Selain itu, populasi buaya yang semakin bertambah juga membuatkan kawasan muara sungai menjadi kawasan haiwan ini bermain. Kami kerap melihat kelibat anak-anak buaya termasuk buaya dewasa berenang di sekitar bot,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya