PUTRAJAYA: “Alhamdulillah, selesai.” Itu kandungan mesej terakhir Mohammad Azim Mohamad Sanusi, 30, yang dikongsi dalam kumpulan WhatsApp keluarganya, pagi kelmarin.
Kandungan mesej itu dikirim arwah sejurus selesai menghadiri temu duga kerja sebagai Pegawai Belia dan Sukan, di sini.
Arwah yang juga pembantu tadbir di Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) maut selepas dihempap keretanya sendiri ketika sedang menukar minyak hitam kenderaan itu di kuarters penjawat awam di Presint 5, pagi kejadian.
Bapa arwah, Sanusi Sujak, 69, berkata, sebelum kejadian, arwah mengirim mesej menerusi WhatsApp dan memaklumkan sudah selesai menghadiri sesi temu duga itu berserta sekeping gambar.

Menurutnya, arwah nampak gembira malah turut berkongsi keyakinan sepanjang sesi berkenaan.
“Arwah pernah menghadiri beberapa sesi temu duga sebelum ini, namun kali ini dia berasa sangat yakin dan berharap untuk terpilih.
“Saya sangat rapat dengannya kerana arwah anak lelaki bongsu dalam enam beradik,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di Jabatan Forensik, Hospital Putrajaya semalam.
Katanya, jenazah dibawa pulang ke kampung halaman dan disolatkan di Masjid Kampung Beringin, Durian Tunggal, Melaka sebelum dikebumikan selepas solat zuhur.
Arwah meninggalkan seorang isteri, Nor Azilah Amti dan seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan.
Dalam kejadian pukul 11.48 pagi kelmarin, Mohammad Azim maut akibat dihempap keretanya sendiri di sebuah kuarters penjawat awam di Presint 5, di sini.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, kejadian itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan tiada unsur jenayah ditemukan di lokasi kejadian.
Difahamkan, insiden berlaku apabila mangsa dikatakan sedang menukar minyak hitam dan brek tayar hadapan kereta sebelum dihempap kereta berkenaan. – UTUSAN