Arked Pekan Sehari Wang Kelian dijangka mula beroperasi pada Mac atau April - Utusan Malaysia

Arked Pekan Sehari Wang Kelian dijangka mula beroperasi pada Mac atau April

ARKED Pekan Sehari Wang Kelian bakal menjadi tarikan baharu pelancong selepas dijangka memulakan operasinya sekitar bulan Mac atau April depan. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Arked Pekan Sehari Wang Kelian dijangka mula beroperasi pada Mac atau April depan sekali gus bakal menjadi tarikan baharu buat pengunjung ke kawasan berkenaan.

Buat masa ini, terdapat sedikit lagi proses penambahbaikan sedang dilaksanakan di kawasan arked itu demi keselesaan pengunjung apabila ia mula beroperasi kelak.

Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, peniaga-peniaga yang dipilih untuk beroperasi di ruang arked itu juga disaran agar lebih kreatif dalam menawarkan produk-produk yang dijual.

“Kerajaan negeri menyerahkan kepada peniaga untuk lebih inovatif dan kreatif dalam menawarkan barangan atau perkhidmatan mereka bagi menarik tumpuan pengunjung yang datang ke sana.

“Kalau boleh janganlah semua kedai memasarkan produk yang sama seperti di Padang Besar dan mereka diharap dapat membawa kelainan bagi menarik pengunjung khususnya dari Thailand untuk datang ke Wang Kelian,” katanya selepas Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis di Dewan Bankuet Kompleks SUK Perlis di sini hari ini.

Dalam pada itu, Hasnol berkata, pembukaan semula arked niaga berkenaan bakal menarik pelancong asing untuk berbelanja di Malaysia sekali gus menyeimbangkan aliran pertukaran wang.

Tambahnya, langkah itu juga dapat menarik pelancong tempatan untuk terus berbelanja di negara ini berbanding berkunjung ke negara jiran seperti Thailand.

“Seperti sedia maklum, ramai rakyat Malaysia ke Thailand berbanding pelancong mereka ke sini, jadi dengan adanya tarikan seperti di arked itu nanti kita harapkan agar pengaliran wang itu dapat diseimbangkan dengan lebih baik,” katanya.

Arked Niaga Wang Kelian sebelum ini ditutup setelah kerajaan mengumumkan pemansuhan Zon Aliran Bebas pada April 2015 susulan penemuan kubur besar yang menempatkan 139 mayat mangsa pemerdagangan manusia di kawasan itu.

Penutupan itu adalah sebagai langkah kawalan pergerakan keluar masuk sempadan dalam mengekang kegiatan penyeludupan barangan terlarang yang dilihat menjadi ancaman kepada negara.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya