BALING: Beberapa penambahbaikan bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah bagi mengekalkan momentum lebih cekap dan berkesan semasa berdepan bencana atau sebarang kes kecemasan.
Pengarah APM Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub berkata, ianya merangkumi pengurusan pasukan, kerjasama berkumpulan, masa tindak balas dan memperbaiki semula koordinasi komunikasi agar berada pada tahap lebih baik
Justeru katanya, eksesais atau latihan menyelamat antara langkah persediaan yang diambil bagi memastikan setiap anggota APM bersedia menghadapi apa sahaja kemungkinan.
“Kami sentiasa membuat persediaan daripada segi pengurusan pasukan dan meningkatkan kembali kemahiran anggota, orientasi kepada kawasan dan mengurus kembali pasukan ini agar sekiranya berlaku apa-apa, mereka sudah bersiap sedia.
“Apabila berhadapan situasi tidak terduga seperti kes beruang matahari tempoh hari, itu juga antara kita sentuh dalam latihan kali ini supaya anggota lebih peka dan sentiasa tambah baik pengurusan dalam pasukan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Eksesais SAR APM Kedah Zon Selatan di Dusun Tok Wak Desa Sentosa, di sini hari ini.
Seramai 120 pegawai dan anggota APM Baling, Sik, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu terlibat dalam eksesais tersebut.
Awang Askandar berkata, eksesais seumpama itu memberi ruang dan peluang kepada pegawai serta anggota terlibat membuat latihan sebagai persediaan untuk tindakan lebih cekap semasa bertugas di lapangan sekiranya berlaku bencana. –UTUSAN