PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan solidariti Malaysia sebagai negara sahabat Turkiye ketika bertemu dengan Presiden Recep Tayyip Erdoğan di Ankara hari ini.
Menurut Perdana Menteri, Malaysia adalah negara sahabat ketika saat getir dan sukar, serta memberi komitmen yang tidak berbelah bahagi terutamanya dalam membantu warga Turkiye yang terkesan daripada malapetaka gempa.
“Saya turut menyampaikan ucapan takziah daripada rakyat Malaysia serta memaklumkan mengenai bentuk bantuan yang telah diusahakan oleh kerajaan Malaysia.
“Bersama kita mendoakan agar peristiwa duka ini cepat berlalu dan Turkiye kembali pulih,” katanya dalam satu kenyataan lewat petang ini.
Pada pertemuan itu, Anwar turut diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Armizan Mohd. Ali; Duta Malaysia Ke Turkiye, Sazali Mustafa Kamal dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin.
Terdahulu, Anwar yang tiba malam tadi di negara itu juga berjumpa dengan pasukan pencari dan penyelamat (SAR) Malaysia di Nurdagi, Gaziantep hari ini.
“Saya melihat sendiri kesungguhan, kecekapan dan tahap profesionalisme yang tinggi sewaktu pengoperasian carilamat mangsa gempa bumi di kawasan tersebut.
“Saya dimaklumkan anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam dan Kor Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia telah menzahirkan pengorbanan dan keupayaan yang ternyata luar biasa,” ujarnya.
10 hari selepas gegaran dengan kekuatan 7.8 magnitud dan gegaran susulan, banyak bangunan yang runtuh dan mengakibatkan lebih 41,200 orang disahkan terkorban di seluruh Turkiye dan Syria. – UTUSAN