FIGURA yang diketengahkan dalam ruangan Khabar Legenda kali ini penulis sifatkan sebagai satu dalam sejuta. Datuk Goh Eng Boon atau Andre Goh selayaknya diangkat sebagai anak seni legenda dek sumbangan dan jasa yang dicurahkannya dalam memartabatkan lagu asli dan tradisional.
Tidak sekadar fasih berbahasa Melayu, anak seni berketurunan Baba Nyonya ini turut mengamalkan budaya dan adat Melayu sejak kanak-kanak lagi.
Disebabkan itu, Andre dianggap sebagai penyanyi unik dan istimewa kerana tidak ramai sepertinya, seorang bukan Melayu namun menghargai adat dan budaya bangsa lain.
Kesempatan mewawancara figura ini mendekatkan lagi penulis dengan penerima anugerah Ahli Mangku Negara pada 1982 ini.
Dia tidak lokek berkongsi cerita tentang perjalanan hidup sebagai anak seni yang dihormati dan disegani. Dilahirkan di Tangkak, Johor, Andre membesar bersama 15 adik-beradik yang saling menyayangi antara satu sama lain.
Ayahnya, Goh Tiam Leong merupakan pencinta lagu Dondang Sayang, manakala ibunya, Wee Teck Neo mahir berpantun. Zaman kanak-kanaknya berbeza dengan kebanyakan kanak-kanak masa kini.
Minat terhadap bidang muzik bercambah sejak beliau kecil lagi, iaitu sekitar era 1940- an.
“Keluarga saya berpindah ke Kampung Sialang, Tangkak selepas saya dilahirkan. Ketika itu, Tanah Melayu masih di bawah pemerintahan British.
“Bapa saya beli sebidang tanah dan bina rumah papan untuk kami sekeluarga tinggal. Dia tidak bekerja, sebaliknya berniaga dengan mengusahakan kedai minum di kawasan pekan Tangkak. Saya sempat merasai kesusahan, hidup tanpa kemudahan elektrik atau air. Kami hanya bergantung kepada sumber air perigi untuk kegunaan harian.
“Hiburan terlalu terhad. Satu-satunya bentuk hiburan pada waktu itu adalah mendengar lagu menerusi piring hitam. Minat saya terhadap muzik bermula dari situ. Setiap kali bapa memutarkan piring hitam tersebut, saya akan berlari mendekatinya disebabkan minat mendalam terhadap muzik,” katanya.
Kongsi Andre, lagu-lagu Melayu sering diperdengarkan di rumahnya ketika dia masih kanak-kanak. Disebabkan itu, jiwa beliau serasi dengan lagu-lagu Melayu Asli dan Langgam.
“Di rumah, kami bertutur dalam bahasa Melayu. Jadi, kebanyakan lagu yang saya dengar sewaktu kecil adalah lagu-lagu Melayu lama seperti Kuala Sedeli, Bunga Lalang, Bunga Rampai, Dondang Sayang dan banyak lagi.
“Kalau ke pekan Melaka, bapa saya akan membeli piring hitam yang dibawa dari Indonesia dan sering memutarkannya di rumah. Saya yang masih kanak-kanak, cukup tertarik dengan keindahan lagu Melayu dan membesar dengannya,” ujarnya.
KALI PERTAMA NAIK PENTA
Bercerita lanjut, Andre berkongsi momen sewaktu kali pertama naik ke pentas. Katanya, itu merupakan pengalaman istimewa yang tidak dapat dilupakan sehingga hari ini.
“Pengalaman pertama saya naik ke pentas bukan dengan nyanyian, sebaliknya syarahan ketika sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan di sekolah. Pemerintah ketika itu rancak mengadakan pelbagai aktiviti untuk menggalakkan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat menerusi kempen Gunakanlah Bahasa Kebangsaan.
“Kerajaan waktu itu dalam usaha menghapuskan sekolah Inggeris dan menganjurkan pelbagai pertandingan untuk menggalakkan dan memartabatkan penggunaan bahasa kebangsaan.
“Sekolah saya pada ketika itu menganjurkan pertandingan bahas dan syarahan, mengetengahkan tajuk Mengapakah Saya Perlu Bertutur Dalam Bahasa Kebangsaan. Saya berminat dan sertai pertandingan yang diadakan di sekolah. Bagaimanapun, disebabkan gemuruh, saya terlupa baris ketiga teks syarahan yang disediakan sepupu dan segera melangkah ke belakang pentas kerana gagal meneruskan persembahan. Gara-gara insiden tersebut, saya menjadi mangsa ejekan adik-beradik selama berminggu-minggu,” ceritanya.
DIRAI WARTAWAN, PEMINAT
Bercerita tentang kenangan manis sepanjang bergelar anak seni, Andre memaklumkan, pengalaman diraikan wartawan menjadi antara momen indah yang masih tersimpan kemas dalam ingatannya.
“Saya pernah bekerja sebagai kerani di Jabatan Telekom yang terletak di Brickfields. Selepas menyertai pertandingan program Bakat TV 1972, saya dicari wartawan dan jurugambar sehingga di tempat saya bertugas.
“Saya tergamam kerana tidak tahu hendak berbuat apa kerana keadaan seperti itu tidak pernah berlaku.
“Kehadiran mereka mencuri perhatian rakan sekerja sehingga ada yang berhenti tugas mereka semata-mata untuk melihat sendiri situasi tersebut,” katanya.
Selain itu, pengalaman diraikan peminat juga menjadi momen bahagia yang tidak dapat dilupakannya.
“Antara momen indah yang paling tidak dapat saya lupakan adalah diserbu peminat ketika membuat persembahan di banyak tempat, termasuk di kawasan kampung dan sebagainya.
“Saya berdepan pelbagai ragam peminat, ada yang sanggup ke belakang pentas semata-mata mahu mengambil gambar dan meminta tanda tangan.
“Pelbagai reaksi peminat yang saya lalui, termasuk juga datang menyerbu ketika saya cuba masuk ke dalam kereta selepas selesai persembahan,” kongsinya.
KAGUMI KAMARIAH NOOR
Allahyarham Kamariah Noor merupakan salah seorang penyanyi yang cukup diminati Andre sejak usia kanak-kanak lagi.
Katanya, dia amat meminati kemerduan suara biduanita tersebut dan sering mendengar kelunakan nyanyiannya di corong radio.
“Dahulu, tidak ada televisyen, cuma ada radio. Mendengar kemerduan suaranya, saya sering membayangkan rupa paras arwah yang sebenar
“Saya dipertemukan dengan arwah dalam program televisyen, Andre Goh yang bersiaran selama 20 siri. Ketika kali pertama bertemu arwah dalam program tersebut, saya tidak dapat menyembunyikan rasa teruja dan gembira.
“Saya berasa amat bertuah kerana berkesempatan memberitahunya secara berdepan, betapa saya meminatinya sejak di bangku sekolah lagi,” katanya.
Andre juga memaklumkan, dia amat menyanjungi Allahyarham Tan Sri SM Salim yang pada pandangannya adalah insan seni berbakat besar.
“Beliau pada saya, penghibur serba boleh kerana berbakat sebagai penyanyi, penyampai radio dan pelawak,” ujarnya.
RAHSIA SIHAT
Antara perkara yang selalu ditanyakan kepada penyanyi ini adalah tentang rahsia dia menjaga kesihatan sehingga membuatkan dirinya kekal bertenaga dan awet muda pada usia lebih tujuh dekad.
Kongsi Andre, dia sentiasa rajin bersenam dan melakukan kerja-kerja berat menjadi faktor masih mampu kekal sihat.
“Kita kena selalu bersenam, itu pucuk pangkalnya. Ketika usia muda, ringan-ringankanlah badan untuk bersukan. Saya dahulu rajin bermain bola, tenis, golf, berjogging dan sebagainya.
“Bila usia meningkat, saya alihkan minat kepada aktiviti berkebun, lebih-lebih lagi apabila pulang ke kampung di Tangkak.
“Bagi saya, aktiviti berkebun merupakan kerja yang berat. Bayangkan, pada usia 76 tahun, saya masih mampu memotong rumput dengan menggunakan mesin yang berat. Semua saya lakukan dengan kudrat yang ada. Syukur, badan saya masih sihat, tiada penyakit kronik seperti kencing manis dan sebagainya,” kongsinya.