GAGAL sekali bukan bermakna gagal selamanya. Itu prinsip yang dipegang pelakon baharu yang pernah berdepan kekecewaan dalam hidup.
Dibuang dan tidak dapat meneruskan pengajian di universiti kerana tidak mencapai gred minimum ditetapkan, tidak pernah melunturkan semangat Ahnaf Bakar, 34, untuk meneruskan kehidupan.
Baginya, universiti adalah tempat persediaan awal sebelum seseorang menempuh ranjau kehidupan sebenar di luar.
“Saya pernah gagal dalam pelajaran ketika tahun ketiga di universiti sebab pencapaian tidak cukup syarat. Kegagalan itu sebenarnya menjadi pembakar semangat, bukan penamat hidup.
“Pengalaman itu memberi motivasi besar buat saya untuk meneroka kehidupan sekarang,” katanya yang bermula sebagai pelakon ekstra pada 2019.
Pendakian Ahnaf dalam bidang seni bermula dari bawah. Sejak empat tahun lalu, banyak watak ekstra dan pembantu diterima tanpa sekelumit rasa malu.
Baginya, dia sedia bertatih dari bawah supaya dapat belajar dan tanpa sedar, sudah lebih 30 naskhah, termasuk drama dan tele lem dijayakan.
Penantian tersebut akhirnya terbalas apabila dia diberi kepercayaan oleh pihak produksi menggalas watak pembantu menerusi tele lem Nyang yang disiarkan di Astro Citra, tahun lalu.
Katanya, dia sangat bersyukur kerana digandingkan dengan pelakon utama, Emma Maembong yang banyak memberikan tunjuk ajar.
“Ini adalah permulaan untuk saya terus aktif dan bergerak ke depan dalam karier seni. Nyang merupakan platform agak besar untuk saya ‘menjual diri’ kepada mana-mana penerbit atau stesen televisyen.
“Bergandingan dengan nama besar seperti Emma membuka pintu untuk saya terus belajar dan memantapkan lakonan supaya dapat memberikan impak dalam sesebuah naskhah,” katanya.
Ahnaf bersyukur kerana lakonannya sebagai Zaidi iaitu suami kepada Emma menuai kecaman di media sosial.
Jelasnya, telefilem itu mengisahkan entiti paranormal yang mengambil alih tanggungjawab menjaga seorang bayi daripada ibu bapanya yang tidak bertanggungjawab.
“Saya terima banyak kecaman di Instagram dan Tik Tok mengerusi watak antagonis ini. Bagi saya, sekiranya penonton menyampah dan marah dengan watak tersebut, bermakna ia berkesan dan meninggalkan impak.
“Semua itu adalah proses pembelajaran dan saya sangat menghargai segala pujian mahupun kritikan,” katanya.
Disoal tentang persaingan, kata Ahnaf yang juga penyampai berita RTM, tidak dinafikan bakat baharu sama ada dalam bidang nyanyian atau lakonan hadir seperti cendawan tumbuh selepas hujan.
Baginya, setiap pelakon pasti mempunyai ciri berbeza di mata pengarah dan mempunyai kelebihan masing-masing.
“Semua orang ada bakat dan perlu menghargainya. Jangan terlalu skeptikal sebab mesti ada sisi yang kita boleh buat dan kelebihan itu dilihat pengarah. Apa yang penting, teruskan berkarya dan jangan mudah mengalah,” katanya.
Ditebak sama ada pelakon baharu perlu mencipta viral supaya lebih mudah dikenali, Ahnaf tidak bersetuju dengan formula tersebut.
“Pelakon ‘otai’ popular tanpa perlu benda-bendak pelik. Sebagai pelakon baharu, kita tidak perlu terikut-ikut dengan trend, sebaliknya cuba berdiri atas bakat sendiri,” katanya.
Momentum lakonan Ahnaf bermula menerusi drama bersiri Kampung People 1 & 2 terbitan KL Motion Pictures.
Menggalas watak pembantu membuatkan namanya mula dikenali dalam kalangan produksi.
Antara naskhah terkini yang dibintanginya adalah Akira Khan yang diterajui Kamal Adli dan Uqasha Senrose. Drama 28 episod itu masih disiarkan di Astro Ria pada setiap Isnin hingga Khamis, pukul 10 malam.