Ahmad Razif mahu rebut semula jawatan Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus - Utusan Malaysia

Ahmad Razif mahu rebut semula jawatan Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus

AHMAD RAZIF ABD. RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Razif Abd. Rahman menawarkan diri  bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus dalam pemilihan parti kali ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir menyerahkan borang pencalonan tersebut di Pejabat UMNO Bahagian  Nerus di sini pada 10 pagi semalam.

Menurutnya, beliau mengambil keputusan bertanding merebut jawatan itu berasaskan kepada prinsip demokrasi dalam UMNO serta mengambil kira pandangan serta hasrat ahli parti di peringkat akar umbi untuk beliau kembali memimpin UMNO di Bahagian Kuala Nerus.

“Sesungguhnya saya sedar mengenai cabaran yang akan dihadapi, namun saya percaya bahawa berkat doa dan hasrat ahli-ahli parti yang inginkan perubahan setelah parti UMNO berhadapan dengan saat getir pasca Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang lalu.

“Maka saya dengan penuh rendah diri dan tawaduk menawarkan diri untuk bertanding jawatan tersebut.

“Sudah tentu saya mengharapkan agar kita semua yang menyertai pertandingan pada pemilihan pucuk kepimpinan UMNO di Bahagian Kuala Nerus ini dapat sama-sama meraikan dan mengisi demokrasi yang terbentang luas ini dengan semangat muhibbah dan berkasih sayang,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Jawatan Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus kini disandang oleh Dr. Apli Yusof sejak 2018.

Ahmad Razif yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian itu berkata, beliau mengucapkan penghargaan kepada semua ahli parti yang sentiasa memberikan sokongan dan dokongan kepadanya untuk memulihkan UMNO, khususnya di Bahagian Kuala Nerus agar kembali ke era kegemilangannya.

“Saya juga dengan rasa rendah diri memohon sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada perwakilan agar memberikan peluang kepada saya untuk sekali lagi menerajui UMNO Bahagian Kuala Nerus ini.

“Sama-samalah dengan penuh iltizam, kita teruskan perjuangan demi UMNO, demi kita semua,” ujarnya.

Pada pemilihan UMNO yang lalu, Ahmad Razif gagal mempertahankan jawatan Ketua Bahagian UMNO Kuala Nerus selepas tewas kepada Apli dengan majoriti 41 undi.

Apli yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus ketika itu memperoleh 465 undi manakala Ahmad Razif pula memperoleh 424 undi pada pemilihan tersebut. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN