ADUN Sindumin tidak dipanggil Lembaga Disiplin UMNO

ADUN Sindumin tidak dipanggil Lembaga Disiplin UMNO

YUSOF YACOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr. Yusof Yacob tidak dipanggil oleh Lembaga Disiplin UMNO pada Jumaat lalu mungkin kerana penyertaannya dalam UMNO tidak diterima sehingga kini.

Menurut Yusof, beliau tidak menerima apa-apa surat tindakan tatatertib daripada Lembaga Disiplin UMNO kerana penyertaannya dalam UMNO belum diluluskan.

“Jangkaan saya hari itu, saya sudah diterima menjadi ahli kerana saya telah mengisi borang dan ia telah dihantar kepada Pejabat Perhubungan Negeri dan juga Ibu Pejabat UMNO di Kuala Lumpur. Namun, mereka tidak mahu saya masuk dalam UMNO.

“Oleh itu, tanpa rasa ragu-ragu saya tidak ada masalah untuk menyertai mana-mana parti yang saya fikirkan sesuai untuk saya.

“Jadi, saya memilih Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) untuk meneruskan perjuangan dalam politik,” katanya semasa ditemui dalam sidang akhbar ADUN Warisan keluar parti, di sini hari ini.

Empat ADUN UMNO yang dipanggil Lembaga Disiplin pada Jumaat lalu ialah Datuk Shahelmey Yahya (Tanjung Keramat), Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit), Datuk James Ratib (Sugut); Datuk Mohd. Arsad Bistari (Tempasuk).

Kesemua empat ADUN tersebut menyatakan pendirian menyokong Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah selepas sebahagian ADUN UMNO menarik sokongan daripada Hajiji pada 6 Januari lalu.

Walau bagaimanapun, Shahelmey Yahya pada Sabtu menyatakan kesemua ADUN UMNO itu telah selesai membela diri dan kini hanya menunggu keputusan rasmi daripada Lembaga Disiplin UMNO.

Mengenai penyertaan dalam Gagasan Rakyat, Yusof berkata, pada dasarnya penyertaan beliau telah diterima namun, hanya menunggu pengumuman secara rasmi sahaja lagi.

Gagasan Rakyat yang diterajui oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor akan dilancarkan secara rasmi pada 2 Mac ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya