PETALING JAYA: Sebanyak 8,348 kes kebakaran struktur dicatatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tahun lalu dengan melebihi 90 peratus disebabkan punca elektrik.
Mengikut rekod JBPM, jumlah itu melibatkan 8,040 kes berpunca daripada kemalangan manakala 251 kes (sengaja dibakar) dan 57 lagi semula jadi.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, kebanyakan kes kebakaran berlaku disebabkan kemalangan yang berpunca daripada kegagalan peralatan elektrik, mekanikal atau pendawaian, kegagalan kimia dan kecuaian.
“Antaranya litar pintas, kebakaran penggunaan peralatan dapur, over heating dan kecuaian. Itu berpunca dari elektrik dalam sebuah kediaman penggunaannya tinggi dan berterusan sehingga boleh terjadinya kejadian tidak diingini.
![](https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/UTU_BOMBA_20-600x405.jpg)
“Sebanyak 251 kes iaitu sengaja dibakar yang kebanyakannya daripada perbuatan khianat manakala semula jadi disebabkan kilat,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Dalam pada itu, menurut Nor Hisham, sebanyak 4,695 kebakaran melibatkan premis bangunan turut direkodkan.
Jelasnya, kebakaran paling banyak berlaku di rumah kediaman tanah lot iaitu 1,432 kes diikuti teres (684), kedai (475) dan dapur (353).
Jelas beliau, sebanyak 269 kes kebakaran di stor, kilang (260), rumah flat (152) dan kondominium (139).
“Bagi rumah kedai, sebanyak 88 kes dilaporkan berlaku diikuti bengkel (72), setinggan (60) dan pejabat (55). Selain itu, kira-kira 53 kes kebakaran melibatkan premis makanan, asrama pekerja (45), rumah panjang (41) dan hotel (26) serta klinik atau hospital (18).
“Bagi institusi pendidikan, sebanyak 27 kes berlaku di sekolah menengah, asrama sekolah (13), pusat tahfiz (12), universiti (8), sekolah rendah (10) dan sekolah swasta (4) manakala 561 lain-lain premis,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai untuk memastikan kediaman dalam keadaan selamat selain membuat pemeriksaan elektrik secara berkala.
Menurutnya, pemeriksaan pendawaian juga perlu dilakukan setiap lima tahun oleh individu bertauliah bagi memastikan tiada berlaku kebocoran dalam arus elektrik.
“Terutamanya kini setiap rumah menggunakan extension (penyambungan) yang kebanyakannya mengecas banyak peralatan. Malah ada juga turut menggunakan extension untuk mesin basuh dan pengering baju walhal ia tidak mampu menampung arus elektrik.
“Yang paling penting pastikan segala peralatan yang digunakan mempunyai cop SIRIM yang sah,” katanya. – UTUSAN