KANGAR: Suasana di Sekolah Rendah Islam 1 (SRI1) di sini meriah dengan lebih 800 murid sekolah itu teruja bermain wau sempena program Pesta Wau SRI1 baru-baru ini.
Murid-murid begitu bersemangat mengawal layang-layang selain ibu bapa dan guru turut mengambil peluang menunjukkan bakat permainan tradisional itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Guru Besar SRI1, Khairuddin Abdul Manap berkata, program tersebut merupakan kali kedua dianjurkan melibatkan kerjasama ibu bapa dan komuniti setempat yang sekali gus memberi keseronokan kepada kanak-kanak sebelum cuti sekolah.
Katanya, pesta wau tersebut adalah idea guru-guru SRI1 untuk meraikan murid-murid yang akan menamatkan sesi persekolahan tidak lama lagi dan semua murid berpeluang melakukan aktiviti itu bersama.
“Guru-guru memberi idea mengadakan pesta ini bagi membolehkan murid bersantai serentak dan menikmati musim angin timur yang secara kebetulan bertepatan dengan penghujung takwim persekolahan.
“Pelbagai gelagat dapat dilihat, ada yang sabar menaikkan layang-layang, tidak kurang juga yang kecewa apabila tali wau mereka kusut dan terpaksa mengambil masa meleraikannya,” katanya.
Pesta Wau SRI1 tersebut turut mempertandingkan acara wau paling cantik, kawalan wau paling stabil dan teka guli dalam balang selain jualan gerai di pekarangan kawasan sekolah berkenaan.
Tambah Khairuddin, walaupun terdapat layang-layang moden, namun wau tradisional tidak dilupakan apabila murid diberi kesempatan melihat sendiri bentuk fizikal secara langsung seperti dipelajari di dalam buku teks.
Katanya, jika diamati secara halus, permainan wau menuntut kesabaran, fokus dan kemahiran menjangka tiupan angin.
Sementara itu, seorang murid tahun tiga SRI1, Muhammad Ahmad Muhd. Amran berkata, dia lebih meminati wau berbanding bermain layang-layang moden.
Katanya, permainan wau semakin jarang ditemui dan dia meminati permainan itu kerana kawalannya lebih mencabar berbanding layang-layang moden.
“Saya suka permainan tradisional ini kerana ia memberikan ketenangan, lebih santai dan seronok untuk mengawal serta menonton gerakan di udara,” katanya. –UTUSAN