KUALA NERUS: Lebih 7,000 peminat skuter dari seluruh Malaysia memeriahkan program Scooterian Mega Gathering 1.0 yang berlangsung selama dua hari berakhir semalam di Bandar Baru Kuala Nerus di sini.
Menurut pengarah program, Wan Mohd. Zulhafeeza Wan Mohd. Yusof, perhimpunan yang pertama kali diadakan itu turut mendapat sambutan pemilik skuter jenis Vespa termasuk luar Terengganu.
Menurutnya, pelbagai acara diadakan sepanjang perhimpunan permotoran itu antaranya cabutan bertuah, pertandingan autoshow skuter dan Vespa serta persembahan artis.
“Selain itu pihak penganjur turut mengadakan pertandingan mewarna kanak-kanak, aktiviti sukaneka dan pertandingan karaoke melibatkan peserta yang hadir.
“Pada awalnya kami menjangkakan penyertaan sekitar 2,000 atau 3,000 peserta namun maklum balas diterima cukup memberangsangkan.
“Mereka yang datang ini adalah peminat serta pemilik pelbagai jenis skuter termasuk Vespa dengan menggayakan kenderaan masing-masing,” katanya selepas majlis perasmian program itu, semalam.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pihaknya sentiasa membuka pintu penganjuran program seumpama yang secara tidak langsung mempromosi Terengganu.
Menurut beliau, program berkenaan bukan sahaja dapat mengumpul peminat sukan permotoran malah membantu peningkatan ekonomi penduduk serta peniaga setempat.
“Pelbagai himpunan sukan telah diadakan sebelum ini antaranya melibatkan motosikal RXZ, kereta kompak dan beberapa lagi program permotoran yang sentiasa disokong kerajaan negeri.
“Apa yang penting, mereka datang beramai-ramai sambil mementingkan aspek keselamatan diri dan keluarga sebelum, semasa dan selepas program,” jelasnya. – UTUSAN