KUALA LUMPUR: Mengaplikasi inisiatif Lean Healthcare yang melihat keseluruhan proses kerja bagi mengurangkan aktiviti yang tiada nilai tambah antara langkah diambil Kementerian Kesihatan bagi mengurangkan kesesakan di Jabatan Kecemasan dan klinik-klinik pakar di seluruh negara.
Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, proses berulang yang menjejaskan pergerakan pesakit dapat dikurangkan bagi memastikan aliran pesakit berjalan lancar, sekali gus membantu memendekkan masa menunggu.
“Melalui inisiatif ini, kami mensasarkan pengurangan waktu menunggu untuk berjumpa doktor, bermula dari kaunter pendaftaran sehingga pesakit mengambil ubat di farmasi dan masa menunggu katil untuk pesakit yang perlu dimasukkan ke wad dari Jabatan Kecemasan.
“Kerajaan juga menjalankan pengauditan dalaman dan meneliti semula keberkesanan inisiatif sedia ada dalam kementerian. Saya sendiri telah turun ke lapangan dan akan bertemu dengan pengarah-pengarah negeri dan hospital untuk mendengar sendiri serta memahami isu di setiap jabatan kecemasan,” katanya semasa pemberitahuan pernyataan Dewan Rakyat di Parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Dr. Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) meminta penjelasan rancangan kementerian untuk mengurangkan kesesakan di Jabatan Kecemasan.
Dalam pada itu, Zaliha berkata, kementerian turut melaksanakan projek Short Stay Unit (SSU) yang memfokus kepada pesakit stabil yang memerlukan rawatan kurang daripada 72 jam.
Jelasnya, pesakit-pesakit yang dikenal pasti akan dimasukkan ke SSU untuk rawatan berfokus dan optimum, sekali gus mengurangkan waktu menunggu untuk mendapatkan katil pesakit kes-kes ringan yang memerlukan pemantauan jangka pendek di hospital.
“Kerajaan juga melaksanakan Bed Management Unit (BMU) secara berpusat yang mana unit ini bertanggungjawab untuk pengurusan katil dan aliran pesakit daripada proses kemasukan, discaj, transfer intra dan inter-fasiliti.
“Selain itu, kerajaan bekerjasama dengan agensi kerajaan dan sektor swasta dengan kaedah penyumberluaran, merawat kes-kes bukan kecemasan di klinik kesihatan serta memperkasa komuniti dan meningkatkan kesedaran awam,” katanya.
Sementara itu, Lee Wuen dalam soalan tambahannya bertanya solusi untuk perjawatan di dalam sektor kesihatan bagi menambah bilangan kakitangan kesihatan.
Kata Zaliha: “Bagi saya, ini bukan hanya terletak di atas bahu Kementerian Kesihatan sahaja, tetapi harus berbincang dengan agensi lain termasuk Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan. Kalau boleh memang kementerian mahu ambil semua kakitangan perubatan, tetapi, kalau perjawatan tiada, maka tidak boleh laksanakan.” – UTUSAN