KUALA TERENGGANU : Sebanyak 544 jenis produk ubat-ubatan dan kosmetik tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bernilai RM945,727 dirampas oleh Penguatkuasaan Farmasi, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) dalam tempoh dua tahun ini.
Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, kesemua produk tersebut dirampas hasil daripada 121 operasi yang dijalankan di seluruh negeri sepanjang tempoh tersebut.
Menurutnya, risikan dan siasatan turut dibuat terhadap aduan yang diterima daripada orang awam termasuk jualan ubat-ubatan dan produk kosmetik yang dilakukan melalui media sosial.
“Di bawah Cawangan Penguatkuasaan Farmasi jabatan, kita ada empat bahagian iaitu pelesenan, risikan dan operasi, siasatan dan dakwaan serta kawalan iklan dan penguatkuasaan farmasi untuk melaksanakan pemantauan.
“Kebanyakan produk yang dirampas oleh penguatkuasa adalah ubat-ubatan tidak berdaftar dengan KKM (Kementerian Kesihatan),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Gerak Gempur Cakna Ubat Tahun 2023 di sebuah pusat beli belah di sini, hari ini.
Tambahnya, pada tahun 2019 hingga 2020 pula, Penguatkuasaan Farmasi, JKNT bberjaya merampas sebanyak 1,231 jenis produk dan kosmetik bernilai lebih RM1.19 juta.
Selain itu, katanya, sebanyak 121 kes telah dikenakan denda bernilai RM282,450 kepada peniaga terlibat membabitkan kesalahan di bawah Akta Jualan Dadah 1952, Akta Racun 1952 (pindaan 2022) dan Akta Ubat (iklan dan penjualan 1956).
“Jabatan akan sentiasa memantau penggunaan ubat-ubatan dan kosmetik ini dan mendidik orang awam agar mengambil cakna status pendaftaran produk yang selamat.
“Ia boleh disemak melalui laman sesawang https://npra.moh.gov.my atau menggunakan aplikasi FarmaChecker dari Google Playstore atau App Store.
“FarmaChecker berfungsi sebagai indikator sesebuah produk ubat itu tulen atau palsu dengan memeriksa ketulenan hologram FarmaTag, jadi orang awam boleh mengetahui ketulenan ubat dengan cepat dan tepat,” katanya. – UTUSAN