5 PATI Myanmar ditahan kendali bot nelayan tempatan - Utusan Malaysia

5 PATI Myanmar ditahan kendali bot nelayan tempatan

SERAMAI lima PATI warga Myanmar ditahan Maritim Malaysia di perairan Pulau Kendi, Pulau Pinang semalam ketika sedang mengendalikan bot nelayan tempatan selepas didapati gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan di perairan Pulau Kendi dekat sini, semalam selepas didapati dikendalikan lima nelayan warga Myanmar tanpa permit yang sah.

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, penahanan itu dibuat ketika kapal ronda Maritim Malaysia melakukan pemeriksaan terhadap sebuah bot nelayan tempatan kelas C yang sedang melakukan aktiviti menangkap ikan pukul 7.15 petang.

Katanya, bot nelayan tempatan yang berpangkalan di Hutan Melintang, Perak itu ditahan pada kedudukan sekitar 42 kilometer barat laut Pulau Kendi.

”Pemeriksaan awal mendapati, bot itu dikendalikan seorang tekong dan empat kru kesemuanya warga Myanmar berumur antara 19 hingga 44 tahun.

”Hasil pemeriksaan lanjut ke atas dokumen mendapati, tekong dan semua kru bot itu gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah serta surat kelulusan bertulis atau permit kerja dari Ketua Pengarah Perikanan, Jabatan Perikanan Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu pemilik bot menggunakan warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia.

Sehubungan itu, ujar beliau, bot serta kesemua kru ditahan termasuk 300 kilogram hasil laut dibawa ke Jeti Limbungan Batu Maung untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

Tegasnya, Maritim Malaysia mendapati masih terdapat segelintir pengusaha atau pemilik bot yang berdegil menggunakan pendatang tanpa izin (PATI) untuk bekerja di atas bot mereka walaupun amaran telah diberikan dan beberapa tangkapan telah dilaksanakan,” katanya.

Tambahnya, Maritim Malaysia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia.

”Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut, orang ramai boleh segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04 – 2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya