GEORGE TOWN: Sebuah bengkel motosikal yang menjadi tumpuan mat rempit di kawasan pusat bandar untuk mengubah suai motosikal secara haram merupakan antara lima bengkel motosikal yang diserbu dalam Ops Bengkel yang dijalankan hari ini.
Bengkel motosikal yang telah memulakan operasi sejak tiga tahun lalu itu pernah diserbu tahun lalu oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan dikenakan tindakan saman, namun pemilik bengkel seolah-olah tidak serik untuk mengubah motosikal secara haram.
Pengarah JPJ Pulau Pinang, Adenan Md. Isa berkata, antara kesalahan yang dikesan dilakukan pemilik bengkel itu ialah mengubah tayar standard kepada tayar ‘sotong’; mengubah ekzos; memasang alat mengawal kelajuan; mengubah sistem enjin, mengubah ‘swing arm’ dan banyak lagi.
”Bengkel di pusat bandar ini boleh dikatakan antara bengkel ‘top’ yang menjadi tumpuan pemilik motosikal untuk melakukan proses ubah suai secara haram.
”Di bengkel ini kita mengesan pengubahsuaian mungkin dilakukan untuk tujuan meningkatkan kelajuan motosikal bagi berlumba secara haram,” katanya selepas Ops Bengkel di Jalan Gudwara, di sini hari ni.
Menurut Adenan, bengkel di pusat bandar itu juga didapati menjual aksesori motosikal yang diimport dan aksesori tersebut mempunyai potensi digunakan untuk melakukan proses ubah suai motosikal secara haram.
”Kita dapati harga yang ditawarkan untuk pemilik motosikal melakukan proses ubah suai di bengkel ini adalah sekitar RM400 dan terdapat 14 motosikal di bengkel ini yang sedang diubah suai,” katanya.
Mengulas lanjut, Adenan berkata, secara keseluruhannya dalam Ops Bengkel yang dijalankan selama dua jam bermula pukul 1 tengah hari itu, sebanyak 66 notis saman melibatkan 30 kesalahan dikeluarkan terhadap lima bengkel motosikal di daerah Barat Daya dan Timur Laut.
Katanya, Ops Bengkel itu juga merupakan operasi secara bersepadu bersama agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM); Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
”Notis saman dikeluarkan mengikut
Seksyen 6 dan Sekyen 59 Akta Pengangkutan Jalan 1987. Kita beri peluang kepada pemilik bengkel motosikal untuk betulkan semula motosikal yang diubah suai dalam tempoh 10 hari.
”Kita juga arahkan pemilik bengkel menghentikan proses ubah suai motosikal secara haram bagi memastikan aktiviti lumba haram tidak berlaku,” katanya.
Dalam pada itu, tambah beliau, pihaknya mendapati pada masa ini antara proses ubah suai yang sering dilakukan melibatkan pemotongan brek motosikal bagi meningkatkan kelajuan enjin.
”Bila motosikal ditanggalkan brek, geseran tidak berlaku pada tayar dan membolehkan enjin mempunyai kuasa memecut yang lebih laju.
”Pemasangan tayar ‘sotong’ juga antara yang sering dilakukan yang membuatkan tayar kurang sentuhan dengan jalan sekali gus meningkatkan kelajuan enjin,” katanya. – UTUSAN