PETALING JAYA: Peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 yang melibatkan 403,637 calon di seluruh negara akan bermula Isnin ini hingga 15 Mac ini.
Sebelum ini, Kementerian Pendidikan memaklumkan, peperiksaan amali sains SPM telah bermula pada 30 Januari lalu manakala ujian bertutur Bahasa Melayu pada 7 dan 9 Februari dan bahasa Inggeris pada 13 hingga 15 Februari.
Selain itu, ujian mendengar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris pada 16 Februari.
Bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan ini, sebanyak 131,318 petugas peperiksaan dilantik bagi keseluruhan peperiksaan ini dan sebanyak 3,355 pusat peperiksaan disediakan di seluruh negara.
Dalam pada itu, semua calon dinasihat merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan serta arahan yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung.
“Calon diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan. Calon juga hendaklah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan SPM 2022.
“Semua calon diminta agar merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan serta arahan yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung,” kata kenyataan Kementerian Pendidikan sebelum ini.
Jadual waktu peperiksaan boleh dimuat turun dari laman sesawang Lembaga Peperiksaan di pautan http://lp.moe.gov.my.-UTUSAN