GEORGE TOWN: Seramai empat individu berdepan detik cemas apabila kereta jenis Perodua Axia yang dinaiki mereka terbakar selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 3 Jambatan Pulau Pinang berdekatan kawasan perusahaan Perai, di sini awal pagi tadi.
Difahamkan, kesemua mangsa berjaya dikeluarkan dengan bantuan orang awam kira-kira pukul 1 pagi selepas kenderaan dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan kereta jenis Mercedes Benz.
Penolong Pengarah Operasi Negeri, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohd. Hafiz Hafizal Timaradin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pukul 1.08 pagi.
Menurutnya, operasi menyelamat mangsa membabitkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat Perai.
“Peratusan kemusnahan kebakaran kereta terbabit dianggarkan hampir 100 peratus.
“Terdapat empat orang mangsa, namun mereka berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba di lokasi kejadian.
“Kebakaran dapat dikawal pukul 1.19 pagi dan berjaya dipadamkan sepenuhnya kurang lima minit kemudian,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Jelas beliau, operasi menyelamat tamat sepenuhnya pukul 2.20 pagi dan kesemua mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk mendapatkan rawatan lanjut. – UTUSAN