PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewartakan Perintah Larangan terhadap tiga buah penerbitan susulan kandungannya yang dikesan mempunyai unsur memudaratkan kemoralan dalam kalangan masyarakat.
Tiga penerbitan tersebut adalah ‘The Tale of Steven’ (Warta Kerajaan P.U.(A) 24 bertarikh 20 Januari 2023), ‘Jacob’s Room To Choose (Warta Kerajaan P.U.(A) 25 bertarikh 20 Januari 2023) dan ‘Aku’ (Warta Kerajaan P.U.(A) 26 bertarikh 20 Januari 2023).
Menurut kenyataan kementerian berkenaan, The Tale of Steven’ dan ‘Jacob’s Room To Choose’ didapati mempromosikan gaya hidup lesbian, gay, bisexual, and transgender (LGBT) dilihat sebagai satu bentuk ancaman terhadap nilai murni yang diajar agama dan didukung masyarakat timur selama ini.
“Kandungan penerbitan bertajuk ‘Aku’ didapati secara jelas mempunyai kandungan berunsur lucah dan tidak bermoral yang boleh memberi kesan buruk terhadap akhlak diri serta bertentangan dengan nilai-nilai kesopanan masyarakat Malaysia,” katanya hari ini.
Menurut KDN, Warta Perintah Larangan itu adalah selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Pindaan 2012) yang menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran, atau pemilikan hasil penerbitan ini adalah dilarang secara mutlak di Malaysia.
Katanya, kerajaan komited mencegah penyebaran unsur-unsur yang memudaratkan kemoralan dalam kalangan masyarakat kerana ia secara tidak langsung boleh menyumbang ke arah keruntuhan bangsa dan negara.
Pada masa sama, KDN berkata, mana-mana individu yang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar atau ada dalam milikannya bagi apa-apa jua maksud seperti itu apa-apa hasil penerbitan larangan adalah melakukan suatu kesalahan.
“Jika disabitkan bersalah, pelaku boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau didenda tidak melebihi dua puluh ribu ringgit atau kedua-duanya.
“Sekiranya masyarakat awam mendapati penerbitan di atas atau mana-mana penerbitan yang dikhuatiri melanggar undang-undang negara masih diedarkan di pasaran, aduan boleh dibuat kepada Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan, KDN,” tegasnya.
Aduan berkenaan boleh dibuat menerusi talian 03-88868047 atau faks 03-88891682 atau melalui Sistem Pengaduan Awam Bersepadu KDN di laman web http://moha.spab.gov.my. – UTUSAN