29 warga asing dicekup miliki kad pengenalan palsu

29 warga asing dicekup miliki kad pengenalan palsu

RUSLIN Jusoh menunjukkan kad pengenalan palsu pada sidang akhbar berhubung Operasi Khas di JPN Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai 29 warga asing dicekup kerana memiliki kad pengenalan palsu menerusi satu operasi khas (Op Pintas) yang dijalankan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sekitar kawasan perindustrian Puchong, Selangor, semalam.

Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Ruslin Jusoh berkata, operasi bermula pukul 6 pagi itu membabitkan 17 pegawai penguat kuasa dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN Putrajaya yang berjaya menahan seramai tiga lelaki dan 26 wanita warga asing berusia lingkungan 19 hingga 70 tahun.

Menurut beliau, pihaknya menerima aduan awam dan berdasarkan risikan yang dijalankan selama 10 hari mendapati ramai warga asing di kawasan berkenaan menggunakan kad pengenalan palsu untuk bekerja.

“Pemeriksaan terperinci terhadap 14 penumpang di dalam sebuah van berjaya menemui sebanyak 13 kad pengenalan palsu dan satu kad pengenalan milik orang lain yang digunakan mereka.

“Ekoran dari tangkapan yang dibuat, anggota kemudiannya membuat pemeriksaan susulan di kawasan Taman Perindustrian Puchong dan menahan 15 lagi individu yang kesemuanya menggunakan kad pengenalan palsu. Ketika pemeriksaan, kita dapati ada warga asing yang bertindak membuang kad pengenalan palsu mereka untuk mengelak daripada ditahan,” katanya menerusi sidang akhbar  di Ibu Pejabat JPN, di sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kesemua 29 warga asing yang ditahan mengaku berasal dari Sulawesi, Medan serta Acheh, Indonesia dan kad tersebut diperoleh mereka dengan bayaran sebanyak RM300 daripada ejen yang tidak dapat dikenal pasti di sekitar Lembah Klang.

Jelasnya, semakan lanjut mendapati kesemua kad pengenalan palsu yang digunakan warga asing terbabit tidak mempunyai ciri-ciri keselamatan dan hanya menggunakan cip murah.

“Kita turut mengesyaki terdapat sindiket atau ejen tempatan di sebalik penjualan kad pengenalan palsu ini kerana mereka menggunakan alamat di negeri Sabah.

“Selain itu, semakan yang dibuat mendapati maklumat serta nombor kad pengenalan palsu yang digunakan tiada di dalam sistem JPN. Mereka ini hanya guna untuk pengenalan diri sahaja dan mencari pekerjaan, bukan untuk kegunaan peribadi mahu pun urusan bank,” ujarnya.

Katanya, kesemua tangkapan itu kini direman selama empat hari untuk disiasat mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) kerana disyaki menggunakan kad pengenalan palsu dan kad pengenalan milik orang lain sebagai pengenalan diri.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.

Dalam pada itu, Ruslin berkata, JPN merekodkan sebanyak 115 tangkapan dan pendakwaan membabitkan kes memiliki kad pengenalan palsu pada 2019 di seluruh negara diikuti 69 tangkapan pada 2020.

Pada 2021 pula katanya, sebanyak 104 tangkapan direkodkan diikuti 130 tangkapan tahun lalu dan 59 tangkapan setakat Februari ini.

“Kita jangkakan operasi ini berterusan sehingga hujung tahun dengan sasaran utama membabitkan negeri-negeri di Selangor, Johor, Perak, Pulau Pinang dan Pahang.

“Ini kerana rakyat tempatan sudah mula risau apabila ramai warga asing membanjiri kawasan mereka terutamanya di kawasan kampung. Mereka ini cakap bahasa luar tapi mengaku ada kad pengenalan, jadi banyak maklumat dan aduan kita terima daripada orang awam,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya