KANGAR: Seramai 200 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Perlis menyertai sesi ceramah dan motivasi berkaitan pentingnya ilmu dan peluang kerjaya di masa depan.
Sesi ceramah dan motivasi berkenaan yang diadakan baru-baru ini disampaikan oleh Dekan Hal Ehwal Pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Azman Khamis.
Murid-murid tersebut juga didedahkan dengan pendidikan rasuah dan kesedaran integriti di peringkat awal dalam sesi ceramah pengenalan kepada rasuah dan integriti yang disampaikan Pengerusi Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM) Perlis, Nor Halmey Hamdah.
Program tersebut dianjurkan unit unit bimbingan dan kaunseling sekolah berkenaan di bawah guru kaunselornya, Laila Razmi.
Kamarul berkata, penerimaan dan kefahaman murid-murid terhadap apa yang disampaikan para penceramah sangat berkesan dan mereka juga cuba memahami dalam aspek integriti yang bermula di peringkat akar umbi lagi.
Sementara itu, Nor Halmey berkata, pendidikan rasuah dan kesedaran integriti perlu dilakukan lebih awal bagi mendedahkan masyarakat termasuklah kanak-kanak mengenai bahaya rasuah semenjak dari bangku sekolah lagi.
Katanya, hal demikian penting dalam membentuk peribadi diri kanak-kanak sejak kecil.
“Golongan lain berkemungkinan agak sukar untuk diberi kesedaran mengenai pencegahan rasuah disebabkan telah besar dan dewasa.
“Disebabkan itu, kita perlu memberi pengetahuan mengenai rasuah dan integriti sejak awal bagi mendidik mereka supaya amalan rasuah dapat dibasmi sejak dari bangku sekolah.-UTUSAN