PUTRAJAYA: Kesemua 42 tan bantuan kemanusiaan disumbangkan pelbagai pihak dari Malaysia untuk mangsa gempa di Syria telah diuruskan badan bukan kerajaan (NGO).
Menurut kenyataan Wisma Putra di sini, dua organisasi bebas tersebut ialah Persatuan Bulan Sabit Merah Syria (SARC) dan Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC).
“Ia hasil laporan penilaian Pasukan Peninjau Khas Malaysia yang telah mengadakan sesi libat urus dengan wakil kerajaan Syria dan juga pihak-pihak berkepentingan,” jelasnya.
Kerajaan negara ini menghantar kumpulan misi itu pada 14 Februari lepas dan berada di Syria selama lima hari sehingga 19 Februari lalu bagi meninjau penghantaran bantuan.
Pasukan tersebut diterajui Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Norman Muhamad dan mendapat kerjasama Duta Besar Malaysia ke Lubnan, Azri Mat Yacob.
Mengulas lanjut, Wisma Putra berkata, dua buah pesawat angkut Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berlepas pada 18 Februari lalu untuk menghantar sumbangan tersebut.
Penyaluran bantuan juga mendapat kerjasama kerajaan Emiriah Arab Bersatu menerusi sebuah lagi pesawat yang disewa khas Persatuan Bulan Sabit Merah negara berkenaan.
“Kesemua pesawat telah selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Aleppo di utara Syria yang berdekatan lokasi gempa pada 24 Februari lalu,” tambah Wisma Putra.
Antara sumbangan yang dibawa dari Malaysia ialah empat buah generator, ubat-ubatan, khemah, permaidani, pakaian, selimut, barang keperluan bayi dan makanan siap dimakan.
Bantuan berkenaan dikumpulkan oleh pelbagai NGO di Malaysia yang diselaraskan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia.
Sebelum itu pada 22 Februari lalu, sumbangan awal berupa sebuah generator berkapasiti 110 kilovolt diserahkan oleh Konsul Kehormat Malaysia di Syria, Datuk Samir Al-Kour.
Penjana elektrik itu diterima Menteri Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Syria, Hussein Makhlouf yang juga ialah Ketua Jawatankuasa Tertinggi Hal Ehwal Kemanusiaan Syria.
“Malaysia terus komited dalam usaha penyaluran bantuan kepada mangsa gempa di Syria berpandukan laporan komprehensif oleh Pasukan Peninjau Khas,” kata Wisma Putra.
Langkah tersebut ujarnya, demi memastikan segala sumbangan dihantar itu memenuhi keperluan mangsa yang terkesan dengan tragedi bencana alam pada 6 Februari lalu. – UTUSAN