PUTRAJAYA: Seramai 1,814 calon berdaftar menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 di 11 pusat peperiksaan di seluruh Putrajaya hari ini.
Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Farizah Ahmad berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 1,706 adalah calon sekolah manakala 108 merupakan calon persendirian.
“Seramai 10 calon berkeperluan khas turut menduduki peperiksaan hari ini membabitkan calon dengan masalah pembelajaran, pendengaran, fizikal dan rabun.
“Sebanyak 11 pusat peperiksaan disediakan untuk mengendalikan peperiksaan melibatkan 147 petugas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Peperiksaan SPM 2022 sekali lagi menjadi detik bersejarah buat calon-calon apabila mereka mula menduduki peperiksaan itu bermula hari ini sehingga 15 Mac, berbanding kebiasaannya yang dijalankan pada akhir tahun persekolahan.
Calon SPM 2022 juga menjadi antara kumpulan pelajar yang terkesan ketika pandemik Covid-19 kerana mereka lebih banyak mengikuti sesi pembelajaran melalui Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti calon-calon SPM 2021 sebelum ini.
Tinjauan Utusan Malaysia di Sekolah Menengah Agama Putrajaya, Presint 11 di sini mendapati, seawal pukul 6.30 pagi pelajar yang menduduki subjek Bahasa Melayu Kertas 1 mula berkumpul di surau sekolah untuk solat berjemaah dan bacaan yassin.
Selain itu, beberapa ibu bapa pelajar turut hadir untuk memberi sokongan dan memeluk anak-anak masing-masing sebelum pelajar melangkah masuk ke dalam dewan peperiksaan.
Sebelum peperiksaan bermula, para petugas turut mengingatkan calon-calon supaya mematuhi garis panduan dan larangan yang telah ditetapkan. – UTUSAN