171 unit mesin jual air beroperasi tanpa lesen disita - Utusan Malaysia

171 unit mesin jual air beroperasi tanpa lesen disita

PEGAWAI penguat kuasa JKNT menyita mesin jual air yang beroperasi tanpa lesen di Kuala Terengganu, Terengganu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU : Sebanyak 171 unit mesin jual air bernilai lebih RM2 juta yang beroperasi tanpa lesen di negeri ini disita pada sepanjang tahun lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, tindakan itu diambil pegawai penguat kuasa Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) menerusi Ops Khas Sita Mesin Jual Air di seluruh negeri ini.

Menurutnya, operasi mesin tersebut perlu mendapat kelulusan dan lesen daripada Kementerian KesihatanMalaysia (KKM)

Katanya, hasil pemantauan mendapati sebanyak 526 unit mesin jual air yang aktif beroperasi di seluruh negeri ini.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 355 unit atau 67.5 peratus mempunyai lesen daripada KKM manakala 171 mesin lagi dikenakan tindakan disita.

“Tindakan itu diambil mengikut Peraturan 360(c) Peraturan Makanan 1985 kerana melanggar arahan iaitu tidak mendapat kelulusan daripada KKM sebelum menjalankan operasi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Dr. Kasemani memberitahu, pihaknya telah mengarahkan pemilik mesin tidak berlesen membuat permohonan lesen melalui Food Safety Information System of Malaysia (FoSIM) bagi mengelak mesin mereka disita.

Jelasnya, pemilik mesin berkenaan yang ingkar boleh dikenakan kompaun serta merta sebanyak RM2000 atau berdepan hukuman denda maksima RM10,000 atau dua tahun penjara jika disabitkan kesalahan di bawah peraturan yang sama.

“Lesen mesin jual air perlu dipantau dan dikawal selia oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan JKNT bagi menentukan air yang dijual kepada pengguna adalah selamat selain mesin diuruskan dengan baik,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya