15 ekor ayam, 10kg daging sehari khusus untuk Menu Rahmah di Restoran Hameediyah - Utusan Malaysia

15 ekor ayam, 10kg daging sehari khusus untuk Menu Rahmah di Restoran Hameediyah

PEMILIK restoran Hameediyah, Ahamed Seeni Pakir Abdul Shukor (kanan) ketika memperkenalkan Menu Rahmah yang bakal dilancarkan bulan hadapan di Restoran Hameediyah Sungai Ara, Bayan Baru, Pulau Pinang hari ini. - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Restoran Hameediyah akan memasak kira-kira 15 ekor ayam serta 10 kilogram (kg) daging sehari khusus untuk menyediakan Menu Rahmah bagi pelanggan-pelanggan restoran tersebut mulai bulan depan.

Pengurus Restoran Hameediyah Sungai Ara, Muhamad Salim Ahamed Seeni Pakir berkata, setakat ini Menu Rahmah akan disediakan di dua cawangan restoran tersebut iaitu di Lebuh Campbell dan Sungai Ara.

“Terdapat dua set Menu Rahmah yang boleh menjadi pilihan pelanggan iaitu sepinggan nasi putih, ayam goreng, sayur kubis manakala satu set lagi ialah nasi putih, lauk daging dan sayur kubis,” katanya selepas memperkenalkan Menu Rahmah di Restoran Hameediyah Sungai Ara, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, S. Jegan.

Menurut Muhamad Salim, tarikh pelaksanaan Menu Rahmah di dua cawangan Restoran Hameediyah akan dimaklumkan menerusi laman sosial Facebook restoran berkenaan dalam tempoh terdekat.

”Menu ini akan disediakan setiap hari selama lima jam mulai pukul 5 petang dan kita jangka Menu Rahmah ini akan disediakan kepada pelanggan selama dua bulan.

”Kita akan kaji semula sama ada ingin teruskan Menu Rahmah ini selepas itu berdasarkan kos bahan mentah ketika itu,” katanya.

Tambah Muhamad Salim, pihaknya juga mengalu-alukan sekiranya terdapat mana-mana pihak termasuk pengusaha nasi kandar lain untuk bekerjasama bagi menyediakan Menu Rahmah kepada pelanggan.

”Untung memang kurang, tetapi kita masih boleh sediakan Menu Rahmah, kita terbuka dan bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang berminat untuk menyediakan Menu Rahmah bersama kami,” katanya.

Dalam pada itu, Jegan berkata, pada masa ini terdapat 19 restoran yang mengesahkan penyertaan mereka dalam Program Menu Rahmah di Pulau Pinang.

”Kami berharap lebih banyak restoran termasuk restoran nasi kandar dapat menyertai program Menu Rahmah ini sebagai salah satu usaha membantu mengurangkan kos sara hidup terutama golongan B40,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya