1,455 pesawah asnaf terima sumbangan kotak makanan Bernas

1,455 pesawah asnaf terima sumbangan kotak makanan Bernas

MOHAMAD Solhi Mohd. Salleh (kanan) menziarahi Bedah Tayib dan menyampaikan sumbangan kotak makanan dalam program Menjejak Asnaf anjuran Bernas di Simpang Empat, Alor Setar. -UTUSAN/JAMLIAH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Keceriaan jelas terpancar pada wajah pesawah dalam golongan asnaf di sekitar Simpang Empat Kangkong, di sini tatkala menerima kunjungan wakil Padiberas Nasional Berhad (Bernas).

Usaha menyantuni kira-kira 30 pesawah terlibat merupakan satu inisiatif khas Bernas iaitu Menjejak Asnaf dengan sumbangan kotak makanan berupa beras, susu, gula, minyak masak dan keperluan lain.

Menurut Ketua Jabatan Pengurusan Bekalan dan Skim Bernas, Mohamad Solhi Mohd. Salleh, sebanyak 1,455 pesawah di seluruh negara terpilih menerima sumbangan tersebut termasuk 200 pesawah di Kedah.

“Berpegang kepada asas perkongsian rezeki dan bertepatan dengan pengertian pemberian zakat, para pesawah asnaf dikenal pasti untuk menerima sumbangan kotak makanan keperluan harian.

“Dengan cabaran kos dan perbelanjaan isi rumah yang kian meningkat, bantuan seumpama ini diberikan dengan harapan untuk sedikit sebanyak meringankan bebanan golongan pesawah yang terkesan,“ katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan itu kepada lima keluarga pesawah di sekitar Simpang Empat dan Kuala Kangkong, di sini.

Menurut beliau, program berkenaan juga merupakan yang pertama kali diadakan Bernas untuk meringankan beban keluarga terlibat.

“Kotak makanan ini akan diagihkan sebelum Ramadan. Selepas di Kedah kita juga akan ke pantai timur, Selangor dan Perak untuk membuat agihan. Sejumlah RM127,000 diperuntukkan untuk program ini pada 2023.

 “Usaha ini sebenarnya sebagai penghargaan kepada petani yang bertungkus-lumus mengerjakan sawah dan kerana mereka Bernas dapat mengeluarkan zakat,” katanya.

Sementara itu, salah seorang penerima, Azizah Man, 55, keluarganya amat terharu dengan kunjungan pihak Bernas yang menziarah mereka dan menyampaikan sumbangan makanan itu.

“Alhamdulillah, ada juga yang sudi mai tengok kami terutama mak saya, Bedah Tayib, 90, yang sudah uzur. Terima kasih kerana ingat kami sekeluarga. Sumbangan ini sekurang-kurangnya dapat menjimatkan perbelanjaan kami pada bulan ini,” katanya.

Razali Ahmad, 46, yang juga orang kurang upaya (OKU) kategori fizikal dari Kangkong memberitahu, mereka sekeluarga tersentuh dengan kunjungan dan sumbangan pihak Bernas.

“Sebelum ini ada dapat sumbangan zakat dan kini Bernas pula bagi bantuan makanan, syukur pada Tuhan kerana ada rezeki ini. Sekarang kos barang semua naik dan kalau dapat barang percuma macam ini tentulah suka sangat, Alhamdulillah,” katanya yang turut menerima kelengkapan sekolah untuk tiga anaknya.

Seorang lain penerima, Halimah Husin, 67, memberitahu, kunjungan Bernas itu sedikit sebanyak menceriakan keluarganya termasuk suami, Zainol Man, 75, yang kini terlantar kerana penyakit gout. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya