1,435 bubu naga dirampas Perikanan Selangor - Utusan Malaysia

1,435 bubu naga dirampas Perikanan Selangor

Bubu naga
NORAISYAH Abu Bakar menunjukkan bubu naga yang dirampas Jabatan Perikanan Negeri Selangor pada Operasi Khas Bubu Naga di Pusat Tahanan Vesel Kuala Selangor, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Sebanyak 1,435 bubu naga pelbagai saiz bernilai RM86,100 dirampas Jabatan Perikanan (Perikanan) Selangor yang menjalankan Operasi Khas Bubu Naga selama dua hari sejak semalam dekat jeti-jeti di sekitar daerah ini dan Sabak Bernam.

Rampasan tersebut adalah yang terbesar dan signifikan kerana jumlah peralatan haram berkenaan mampu menaikkan sekurang-kurangnya 10 tan hasil dan boleh memusnahkan ekosistem hidupan laut.

Pengarahnya, Noraisyah Abu Bakar berkata, bubu naga dan bubu yang mempunyai lebih daripada dua injap adalah tidak dibenarkan untuk digunakan sebagai kaedah tangkapan kerana jaring kecilnya itu akan memusnahkan induk ikan.

“Ini adalah sebagai suatu langkah pencegahan daripada merebaknya penggunaan peralatan itu dalam kalangan nelayan atau bukan nelayan serta sebagai suatu peringatan kepada semua Perikanan tidak akan berkompromi dan membiarkan penggunaannya kerana memudaratkan sumber perikanan negara,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Beliau menambah, dalam operasi tersebut, pasukan penguatkuasa Perikanan melakukan risikan di laut dan darat selain menerima aduan daripada orang awam dan dalam masa sama mengenal pasti masalah sedemikian semakin meruncing.

“Pengoperasian bubu naga ini dikenal pasti merebak di sepanjang perairan negeri ini terutamanya di Kuala Selangor dan Sabak Bernam. 

“Pelbagai modus operandi oleh pengusahanya dikesan melalui operasi yang dijalankan seperti menyembunyikan bubu di dalam atau di sebalik timbunan tong ais terpakai, menutup premis dan bubu naga menggunakan kanvas atau zink serta menyembunyikannya di dalam rumah bagi mengaburi mata penguatkuasa,” jelasnya.

Jelasnya, penggunaan bubu naga semakin kerana peralatan itu mudah didapati secara dalam talian termasuk melalui platform e-dagang.

Malah, semakan Utusan Malaysia dalam platform-platform tersebut mendapati bubu naga dijual secara meluas pada harga bermula RM18 hingga RM80 mengikut saiz.

Menurut Noraisyah lagi, nelayan-nelayan sedemikian sanggup menggunakannya kerana dapat memperoleh hasil laut yang banyak dan pulangan jualannya agak lumayan.

“Namun harus diingatkan bahawa kesannya memusnahkan benih, anak ikan serta sumber perikanan yang lain sekaligus menjejaskan keterjaminan makanan negara pada masa akan datang jika tidak dibanteras sejak dari sekarang,” tegasnya.

Tambahnya, penggunaan peralatan tersebut adalah menyalahi undang-undang di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 dan boleh dikenakan denda dan lesen menangkap ikan digantung.

“Perikanan Selangor menyeru semua nelayan mematuhi peraturan, dasar dan prosedur yang digariskan selaras Akta Perikanan 1985 demi memastikan kelangsungan sumber perikanan dan menjamin sekuriti makanan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya