IPOH: Sebanyak 107 premis berstatus premis ditetapkan di seluruh negeri ini termasuk 12 bangunan kerajaan dikenal pasti beroperasi tanpa Sijil Perakuan Bomba (FC).
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Azmi Osman berkata, perkara itu dikesan hasil pemantauan yang dijalankan di seluruh negeri sejak tahun lalu.
“Jumlah premis yang kita tetapkan untuk memiliki sijil tersebut di negeri Perak ini, sebanyak 317 buah tetapi yang memiliki FC hanya 210 buah sahaja.
“Ini bermakna, baki yang lain (107 buah), mungkin sijil berkenaan telah tamat tempoh atau pemilik belum lagi memperbaharui sijil tersebut,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan JBPM Perak di Bandar Meru Raya di sini hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, sebanyak 15 premis yang dikenal pasti beroperasi tanpa FC akan diambil tindakan di mana pihaknya sedang menyiapkan kertas siasatan untuk dirujuk kepada pihak pendakwaan.
Katanya, ini termasuk tiga pemilik premis membabitkan bangunan kerajaan.
“Bangunan kerajaan yang kita tetapkan sebanyak 20 bangunan tetapi yang telah pun memiliki FC hanya lapan sahaja, ini bermakna 12 buah bangunan lagi tidak ada.
“Daripada 12 buah bangunan, kita telah hantar notis kepada enam pemilik dan tiga lagi pemilik kini dalam proses untuk membawa tindakan ke mahkamah,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya akan mempergiatkan usaha dan tindakan dengan memeriksa premis perniagaan selain mengeluarkan notis atau arahan bagi memastikan mereka mematuhi undang-undang.
Sehubungan itu katanya, semua pemilik bangunan khususnya ketua-ketua jabatan disaran peka dan mengambil perhatian serius berkaitan pemilikan sijil berkenaan.
“Kita minta semua ketua-ketua jabatan, agar pastikan premis mereka berada dalam keadaan baik. Kita tidak mahu apabila berlaku kebakaran, ia akan memusnahkan aset kerajaan terutama fail-fail yang mungkin penting untuk urusan pentadbiran,” katanya.
Terdahulu, Azmi turut menyaksikan serah terima tugas jawatan Timbalan Pengarah JBPM Perak antara Mohd. Zaki Omar dengan Jamri Masran dan jawatan Penolong Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran JBPM Perak antara Syed Azman Syed Ghazali dengan Sabarodzi Nor Ahmad.
Mohd. Zaki akan bertukar ke Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wilayah Tengah Kuala Kubu Baru manakala Syed Azman pula sebagai Ketua Unit Integriti, Ibu Pejabat JBPM di Putrajaya. – UTUSAN