PUTRAJAYA: Jabatan Pertanian merampas sebanyak 10,125 bungkusan racun makhluk perosak tidak berdaftar membabitkan nilai pasaran berjumlah RM50,625.
Rampasan dilakukan Pasukan Penguatkuasaan Lembaga Racun Makhluk Perosak (LRMP) di sebuah premis menjual input pertanian di Kampung Gajah, Perak pada 1 Februari lalu.
Ketua Pengarahnya, Datuk Zahimi Hassan berkata, racun makhluk perosak tidak berdaftar itu adalah sejenis racun siput yang digunakan bagi mengawal siput gondang emas (SGE) di kawasan tanaman padi.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat pada label produk, racun makhluk perosak ini diseludup dari negara China dan mengandungi perawis (kandungan) aktif ‘fentin acetate’ yang diharamkan penggunaannya di Malaysia, namun, sudah ada di negara lain sejak 1954.
“Kami mendapati, racun berkenaan mempunyai kadar toksik tinggi yang boleh menyebabkan kegatalan pada badan dan menjejaskan hidupan akuatik lain di kawasan sawah padi.
“Racun makhluk perosak yang mengandungi perawis (kandungan) aktif ‘fentin acetate’ tidak pernah didaftarkan di Malaysia ,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Zahimi berkata, serbuan dilakukan hasil risikan dan maklumat orang awam yang prihatin terhadap penjualan dan penggunaan racun makhluk perosak tidak berdaftar itu.
Ketika serbuan, katanya, beberapa orang pelanggan dan dua orang pekerja berada dalam premis berkenaan.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemui 81 kotak yang di dalamnya mengandungi 125 paket 40g racun siput tidak berdaftar, malah ia dijual pada harga RM5 sepaket selain turut dijual secara dalam talian.
“Kes itu akan didakwa mengikut Seksyen 20(3) Akta Racun Makhluk Perosak 1974 dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tiga tahun atau didenda RM10,000 bagi kesalahan pertama dan penjara selama enam tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya bagi kesalahan kedua,” katanya.
Katanya, Fentin acetate ialah sejenis racun perosak kimia dan digunakan sebagai racun kulat dan racun serangga.
Pada masa sama, Zahimi berkata, ketika ini, SGE dikawal menggunakan racun makhluk perosak berdaftar menggunakan perawis aktif seperti metaldehyde, niclosamide dan niclosamide-olamine dan petani Malaysia boleh menggunakan 22 produk racun siput berdaftar ketika ini. – UTUSAN